Slider

Ibu tunggal menyundal di Melaka, didenda RM3,500

Foto Harian Metro


Seorang ibu tunggal warga Vietnam yang melacurkan diri di Blok B2, Jalan Abadi 1, Taman Malim Jaya pada jam 9 malam 23 Februari lalu, dijatuhkan hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, semalam. 


Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas Nyuyen Thi Tuyen, 39, mengaku bersalah di atas pertuduhan mencari pelanggan bagi maksud persundalan. 


Mahkamah turut memerintah tertuduh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari pelanggan di lokasi tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 


Bagaimanapun, peguam tertuduh, Loong Meng Si memohon mahkamah mempertimbangkan pengakuan bersalah Nyuyen yang menjimatkan masa dan kos mahkamah.


Loong berkata, anak guamnya melakukan pekerjaan itu kerana terdesak mahu mendapatkan wang untuk dihantar kepada ibunya yang menjaga dua anaknya berusia 10 dan 11 tahun di Vietnam. 


"Tertuduh rasa bersalah selepas didakwa dan saya memohon hukuman denda paling minimum dikenakan," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo