Slider

Johnny Depp akui tidak pernah tonton filem Pirates of the Caribbean walaupun dia melakonkan watak utama, Jack Sparrow




Johnny Depp ketika perbicaraan kes saman $100 jutanya memaklumkan dia tidak pernah menonton filem Pirates of the Caribbean, walaupun dia merupakan watak utama, Jack Sparrow, dalam filem tersebut.


Bintang Hollywood berusia 58 tahun itu memberitahu mahkamah yang dia percaya, dia percaya filem itu berjaya yang merujuk kepada siri pertama filem itu, The Curse of the Black Pearl, dengan kutipan $654 juta. 


Ketika ditanya di Mahkamah Daerah Fairfax, Virginia semalam tentang bagaimana kehidupannya berubah selepas filem tersebut yang diterbitkan pada tahun 2003, Depp berkata, wataknya Kapten Jack Sparrow boleh melakukan sesuatu yang dia tidak boleh lakukan. 


Dalam perbicaraan itu, Depp memberi keterangan di mana dia memfailkan saman terhadap bekas isterinya, Amber Heard atas tuduhan memfitnahnya dalam kenyataan yang ditulis untuk Washington Post, berhubung dakwaan kes penderaan yang berlaku dalam rumah tangganya. 




Heard, 35, menuntut saman balas $100 juta, mendakwa Depp sengaja memburuk-burukkannya apabila dia menuduhnya berbohong. 


Semalam, Depp memberitahu mahkamah tentang saat perkahwinannya dengan Heard berantakan hanya kerana dia menanggalkan kasutnya sendiri sebaik saja pulang ke rumah. 


Depp berkata, sudah menjadi rutin untuk Head memberikan segelas wain dan menanggalkan kasutnya sebaik sahaja dia pulang ke rumah. 


Tetapi pada hari kejadian, Heard sedang sibuk menjawab panggilan telefon dan Depp mengambil keputusan untuk menanggalkan kasutnya sendiri, berbanding menunggu isterinya. 


"Saya sibuk bekerja dan apabila saya pulang dari kerja, saya akan masuk ke rumah dan dia akan memberi segelas wain dan menanggalkan kasut saya lalu diletakkan di tepi," kata Depp. 


"Saya tidak pernah mengalami perkara seperti itu dalam hidup saya. Saya tidak pernah mengalaminya dan ia akhirnya menjadi perkara biasa, seperti rutin. 




"Satu malam itu, saya pulang ke rumah dan dia sedang sibuk menjawab panggilan telefon. Saya tanggalkan kasut dan tiba-tiba Cik Heard datang dengan riak wajahnya bertanya, 'Apa yang awak buat tadi? Apa yang awak buat?! Awak tanggalkan kasut awak'. Saya jawab 'Ya, sebab awak sibuk'. 


"Tetapi Heard memberitahu, 'Tidak, tidak, tidak, itu tugas saya. Awak tak perlu buat macam tu. Saya yang buatkan'. Kemudian dia berkata, 'Biar saya ambil segelas wain untuk awak'. Saya nampak riak wajahnya kecewa hanya kerana saya melanggar peraturan rutinnya. 


"Sebaik saja awak perasan sesuatu seperti itu berlaku, awak akan mula perasan hal-hal yang lain. Dalam masa setahun setengah, dia sudah hampir menjadi 'orang lain'," kata Depp. 




Jelas Depp lagi, pada awal hubungannya dengan Heard yang ditemuinya di set penggambaran filem The Rum Diary pada 2011, dia menyifatkan keadaan itu 'indah khabar dari rupa. 


"Dia suka beri perhatian, penyayang, pintar, lucu dan memahami. Kami mempunyai banyak persamaan, untuk tahun itu atau setahun setengah, ia sangat mengagumkan. Dari awal perhubungan kami, dia hebat dan kemudian keadaan mula berubah," katanya. 


Menurut Depp, kehidupannya sejak dari zaman kanak-kanak dipenuhi dengan pelbagai masalah seperti terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan selalu didera oleh ibunya, Betty Sue Palmer.


Menginjak ke usia remaja, hubungan keluarganya berantakan di mana bapanya. John Christopher Depp, keluar dari rumah kerana tidak lagi sanggup tinggal bersama. Hal itu membuatkan emosi Betty tidak menentu dan pernah cuba membunuh diri dengan menelan pil dalam jumlah yang banyak. Namun, Betty berjaya diselamatkan oleh paramedik. 


Depp yang ketika itu berusia 15 tahun, terpaksa berdepan dengan bapanya untuk berbincang mengenai masalah tersebut. Namun, John berkata dia sudah berputus asa dan menyerahkan tanggungjawab ketua keluarga itu kepada Depp. 


Tertekan dengan masalah itu, Depp mengakui dia mengalami kemurungan dan menuduh bapanya sebagai seorang lelaki pengecut yang tidak berani berdepan dengan masalah yang timbul. 


Sumber: Daily Mail

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo