Slider

Kerap diasak wang RM4,000 oleh ibu mentua, punca lelaki tetak 4 ahli keluarganya sendiri

Foto Berita Harian



Mahkamah Sesyen Kota Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan terahdap pemandu lori yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencederakan empat ahli keluarganya dalam kejadian 14 April lalu. 


Tertuduh, Mohd Hadi Hashim, 38, mengaku bersalah di selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norsiah Ujang yang kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan serta semua hukuman dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tangkapan 20 April 2022. 


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencederakan ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, isterinya, Norwahida Rosli, 33, Norwadiha Rosli (adik ipar perempuan), 32, dan Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman (adik ipar lelaki), 16, dengan menggunakan parang panjang di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil pada jam 7.45 malam, 14 April 2022. 


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326 (A) KK. 


Bagi kesalahan mengikut Seksyen 326 KK, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.


Untuk Seksyen 326 (A) KK pula boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi, manakala tertuduh diwakili peguam Nurshuhadah Mahzan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 


Dalam kejadian 14 April itu, tertuduh mencederakan ibu mentuanya terlebih dahulu dengan menekup muka mangsa. Mangsa berjaya melepaskan diri, tetapi tertuduh segera mengambil parang berukuran 79 sentimeter dan menetak kepala mangsa. 


Adik ipar perempuan cuba membantu ibunya, tetapi diserang. Adik ipar lelaki yang cuba menghubungi talian kecemasan juga menjadi mangsa sebelum tertuduh menyerang isterinya yang bersembunyi di dalam bilik sebelum melarikan diri dengan menaiki Honda Accord. 


Dalam rayuannya, peguam Nurshuhadah meminta memohon hukuman penjara terhadap anak guamnya diringankan dengan kadar paling minimum kerana kejadian itu berlaku dipercayai berpunca tertuduh hilang pertimbangan akibat sering diasak ibu mentuanya berkaitan dengan wang berjumlah RM4,000. 


"Akibat daripada keletihan kerana baru pulang bekerja, tertuduh bertindak sedemikian yang mana merupakan perkara yang dikesalinya sebelum menyerah diri secara sukarela di IPD Kulai pada 20 April lalu," katanya. 


Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perkara itu membabitkan nyawa, selain faktor kepentingan awam yang lebih mustahak daripada kepentingan peribadi tertuduh. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo