Slider

'Kita dah layan cukup baik, apa lagi mereka nak?' - Menteri KDN kaji pemberian Kad UNHCR kepada pelarian Rohingya



Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat kajian secara terprinci pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan pelarian Rohingya tidak terus masuk ke negara ini dengan bebas. 


Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kajian itu perlu bagi mengenalpasti mengapa pelarian berkenaan mudah mendapatkan kad UNHCR di negara ini. 


"Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka ini dapat kad dengan mudahnya. Orang asing datang masuk negara kita tanpa dokumen, selepas itu terus nak pergi mendapatkan kad UNHCR. 


"Ini sesuatu yang tida betul dan kita bukan membuka negara kita ini untuk pendaftaran UNHCR dan sebab itu saya ambil satu sikap yang tegas bahawa kad itu bukan bermakna mereka boleh tinggal dalam negara kita sampai bila-bila," katanya. 


Dalam pada itu juga, Hamzah menegaskan depot tahanan yang menempatkan pelarian bukanlah penjara, tetapi satu penempatan sementara yang selesa kepada pelarian. 


"Sepatutnya orang seperti ini kita hantar dia balik, tapi kita nak hantar dia balik ke mana? Jadi, ini yang menyebabkan kita berikan mereka satu penempatan dan sepatutnya mereka tidak melarikan diri. 


"Tindakan mereka melarikan diri seperti mereka mahu bebas di negara ini, sedangkan mereka sendiri tidak ada dokumen. Apakah kita mahu melihat perkara itu berlaku dan itu yang menyebabkan kita tahan supaya mereka dapat memberitahu kepada rakan-rakan mereka yang belum sampai lagi. 


"Layanan macam mana yang mereka nak? Kita dah layan cukup baik, apa lagi yang mereka mahu? Kalau mereka menganggap kita layan buruk, keluarlah dari negara ini. Kenapa nak tinggal di Malaysia lagi," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kematian seorang tahanan berkemungkinan menjadi punca ratusan pelarian etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap bertindak merusuh dan melarikan diri. 


Siasatan turut mendapati berlaku kesesakan dan ketidakselesaan dalam kalangan tahanan yang kemudian menghasut sesama sendiri bagi melarikan diri. Kebanyakan tahanan yang melarikan diri mengaku dipaksa dan diugut oleh empat dalang utama yang mencetuskan rusuhan. 




Dua daripada empat penghasut yang dikenal pasti sebagai Nur Karim Shir, 34, dan Mohamed Ali, 30, telah ditahan, manakala dua lagi penghasut iaitu Muhammad Salim Nur Amin, 21, dan Mohd Yunus, 44, masih berada di sekitar kawasan operasi pencarian. 


Pada hari kejadian itu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot. Enam daripadanya maut akibat terbabit dalam kemalangan ketika cuba melintas lebuh raya. 


Polis kini sedang giat mengesan baki tahanan yang masih bebas di Kulim dan Bandar Baharu, Kedah dan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo