Slider

Lans Koperal & 4 rakannya miliki air ketum 2.5 liter, didakwa di Mahkamah Kota Bharu

Foto tertuduh | Kosmo, Harian Metro, Sinar Harian


Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini mendakwa lima individu termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal atas dua pertuduhan memiliki air ketum 2.5 liter di kediaman di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, Khamis lalu. 


Kesemua tertuduh iaitu, Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20, Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27, Bidah Napi dan anggota polis, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, selepas mendengar pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Che Ani. 


Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa memiliki cecair ketum sebanyak 1.5 liter di rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, pada jam 3.25 pagi, Khamis lalu. 


Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa memiliki satu liter cecair ketum di lokasi dan waktu yang sama. 


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan. Kesemua tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah terhadap kesemua anak guamnya. 


Intan turut memaklumkan, Lans Koperal berkenaan adalah ibu tunggal hanya berpendapatan RM1,300 sebulan dan perlu menyara dua orang anaknya. Manakala empat lagi yang lain hanya bekerja sebagai peniaga online, kosmetik yang meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000. 


Mahkamah menetapkan jaminan RM4,500 untuk setiap seorang tertuduh dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo