Slider

Menteri Agama minta Aliff Syukri padam video muzik raya kontroversi dari semua platform media sosial



Video muzik raya kontroversi terbitan usahawan Aliff Syukri Kamarzaman mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang meminta dia memadamkan video tersebut di semua platform media sosial. 


Idris juga mahu bertemu dengan Aliff Syukri untuk berbincang mengenai perkara itu sekiranya diberi peluang untuk bertemu dengan usahawan kontroversi berkenaan, susulan gesaan orang ramai yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Aliff Syukri yang dikatakan menerbitkan video yang menghina bulan Ramadan dan mempromosikan budaya LGBT. 


"Pastinya ia (video tersebut) kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal selepas kita menempuh ujian dan tarbiyah di bulan Ramadan. 


"Saya menasihatkan dengan penuh kasih sayang dan cinta kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah agar klip video seumpama ini dikeluarkan (dipadamkan) daripada disiarkan di mana-mana platform media atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi. 


"Dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seislam, semoga nasihat ini adalah kerana Allah dan biarlah Allah sahaja yang menentukan segala aturan kebaikan kepada hamba-Nya," katanya. 



Tambah Idris, semua umat Islam perlulah menjaga sensitiviti perkara yang berkaitan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang mahu ditonjolkan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi negara baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. 


Peluang dan rezeki yang diberikan Allah perlulah dimanfaatkan sebaiknya untuk mengajak umat Islam kepada perkara lebih takutkan Allah serta menjaga tingkah laku. Umat Islam yang patuh pada ajaran dan nilai agama bukan sahaja dilapangkan hatinya, juga Allah akan melapangkan lagi rezeki mereka. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo