Slider

Pelancong digigit buaya selepas menyangka haiwan itu adalah model plastik

Foto Kejadian


Seorang pelancong lelaki digigit buaya sepanjang 12 kaki selepas dia menyangka haiwan itu adalah model plastik. 


Lapor Ary News, kejadian itu berlaku di taman Amaya View di Bandar Cayagan de Oro, Filipina pada 10 November tahun lalu, di mana mangsa berusia 68 tahun itu masuk ke dalam kandang tersebut untuk merakam gambar selfie dengan buaya berkenaan. 


Tanpa diduga, reptilia itu terus menggigit tangan kirinya lalu diheret ke dalam kolam dalam kejadian yang berlaku di depan mata keluarganya dan pelancong lain. Video kejadian itu juga tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Mangsa, Nehemias Chipada, bagaimanapun bernasib baik kerana buaya itu melepaskan tangannya. Chipada segera melarikan diri dalam keadaan tangannya berlumuran darah. Mangsa dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan pada tangan kiri serta dijangka sedang beransur pulih dari kecederaan. 



Keluarga mangsa mendakwa, pihak taman tidak menyediakan papan tanda amaran yang mencukupi menjadi punca kejadian itu berlaku. 


"Tak ada papan tanda amaran yang menghalang pelancong masuk ke kandang itu. Sebab kalau ada, kami takkan masuk ke dalam kandang itu," kata Mercy Joy Chipada, anak perempuan mangsa. 


Sementara itu, pihak pengurusan taman menafikan dakwaan itu dan menawarkan diri untuk menanggung bil perubatan mangsa. 


Sumber: Ary News

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo