Slider

Pemandu tertinggal budak autisme selama 3 jam dalam van sehingga mati, mengaku tidak bersalah



Gara-gara cuai sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan autisme Oktober 2021, seorang pemandu van didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.


Tertuduh, Mohd Nazree Uzir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed. 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pengabaian dengan meninggalkan mangsa, Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul, 9, dalam jagaan dan kawalannya di dalam sebuah van jenis Kia Pergia sehingga menyebabkan kematiannya. 


Kesalahan itu berlaku di hadapan rumah tertuduh di Jalan Nusari Bayu 5/1, Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan antara jam 2.45 hingga 5.30 petang, 12 Oktober 2021. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali. 


Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu keluarga mangsa sehingga selesai kes. Kes akan disebut semula pada 8 Mei depan. 


12 Oktober lalu, Nur Kasrena terkurung dalam van tersebut selama tiga jam sehingga tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja'afar. 


Difahamkan, mangsa yang mempunyai kad OKU masalah pembelajaran itu sepatutnya dihantar ke pusat jagaan tetapi pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada dalam kenderaan itu. 


Sumber: Kosmo!, Harian Metro, Utusan Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo