Slider

Perusahaan kedai runcit dimonopoli pendatang asing, Kerajaan Kelantan janji nak siasat

Foto Hiasan | Google Images


Kerajaan Kelantan akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan pendatang asing di negeri itu yang memonopoli perusahaan khususnya kedai runcit.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan serta aduan rasmi berhubung perkara berkenaan.


"Saya akan berbincang perkara ini dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri serta Majlis Daerah dan sebagainya adakah wujudnya aduan mengenai perkara ini dan sekiranya ada kita akan mengambil tindakan sewajarnya.


"Kita bukan anti kepada rakyat luar namun sekiranya ia terjadi, kita akan siasat memandangkan kita ingin memberi peluang dengan mengutamakan peluang pekerjaan yang ada ini kepada rakyat kita," katanya pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) yang meminta supaya kerajaan negeri memberi peluang pekerjaaan kepada anak-anak tempatan berikutan kedai runcit dibuka oleh orang asing termasuk warga Bangladesh dan Pakistan.


Ketika mencelah kepada jawapan Hanifa mengenai kedatangan pendatang asing ke negeri ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kebanyakan mereka menggunakan strategi berkahwin dengan penduduk tempatan.


"Permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan mahupun membuka premis ia mestilah membabitkan penduduk tempatan. Oleh itu, antara strategi mereka (pendatang asing) adalah mereka berkahwin dengan orang tempatan, oleh itu kita harap strategi ini dapat ditangani," katanya.


Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Abdul Aziz mengenai peluang pekerjaan kepada golongan belia secara dalam talian, Hanifa berkata setakat, platform perniagaan itu mendapat sambutan yang cukup baik golongan belia terutama sepanjang Perintah Kawalam Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021.


Katanya, setakat ini kerajaan negeri juga telah memperuntukkan hampir RM100,000 menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi pembiayaan kursus perniagaan dalam talian kepada mereka yang berkenaan.


"Kita tahu pendapatan menerusi perniagaan secara dalam talian sama ada membabitkan perniagaan pakaian mahupun kosmetik dan sebagainya mampu memberi pulangan lumayan selain membantu sekiranya golongan belia berdepan kekangan untuk membuka kedai secara fizikal," katanya.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo