Slider

Petugas kesihatan lari selepas cucuk stick swab test pada hidung pelakon Hong Kong sampai berdarah



Bagi mereka yang pernah melakukan ujian pengesanan Covid-19, Polymerase Chain Reaction (PCR) ketika pandemik pasti tahu ianya agak kurang selesa untuk dilakukan. 


Baru-baru ini seorang pelakon Hong Kong, Wong He, 54, memuat naik gambar dirinya mengalami pendarahan di bahagian muka, pada 3 April 2022 di Facebooknya. 


"Buat PCR test di kastam Taiwan, dicederakan oleh petugas kesihatan. Suspek telah melarikan diri dan tiada sesiapa pun yang mengenali suspek, hanya mengetahui dia petugas dari hospital," katanya. 


Difahamkan, Wong ketika itu baru saja tiba di Taiwan selepas menaiki penerbangan dari London. 


Dalam kenyataannya, Wong menjelaskan petugas kesihatan itu adalah seorang wanita, mempunyai ketinggian 150 sentimeter, memakai sut PPE yang lengkap sambil memegang swab stick di tangan kanan lalu dicucuk ke lubang hidung sebelah kanan. 


"Dalam masa yang sama, dia pegang bahagian belakang kepala saya menggunakan tangan kirinya lalu ditolak ke hadapan membuatkan saya terasa sakit dan berundur sekejap. Dia suruh saya tahan dan memberi jaminan dia tidak akan menyakitkan saya. 


"Saya percaya dengan kata-katanya. Sekali lagi, dia memasukkan swab stick ke dalam lubang hidung, serentak dengan menolak kepala saya ke depan menyebabkan hidung saya berdarah," katanya. 


Wong mendakwa, wanita itu terus beredar dan tiada seorang pun kakitangan di situ mengetahui nama dan ke mana dia telah pergi. 


Dia kemudian diberi tisu tandas sepanjang tiga meter untuk menghentikan pendarahan pada hidungnya. Namun firasatnya menyuruh dia menolak pemberian tisu tersebut. 


Wong kemudian membuat laporan polis, tetapi disaran melayari platform kerajaan yang menguruskan koronavirus bagi mencari petugas kesihatan berkenaan. Malah, Wong juga dimaklumkan polis tidak akan mengambil keterangannya. 


Wong disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di Nantou. 


Meskipun perkongsiannya itu mengundang banyak rasa simpati dari netizen, ada segelintir individu menyalahkan Wong yang dituduh mengada-ngada. 


"Tisu itu bukannya diambil dari tandas. Dengan sikap awak yang suka menyalahkan orang, melayan petugas kesihatan seperti penjenayah, keputusan swab test pula positif dan awak banyak mengadu domba tentang pusat kuarantin di Nantou. 


"Ini Taiwan, awak ingat awak boleh mengadu macam ni dan menjadi angkuh? Kalau awak tak suka, awak boleh balik ke Hong Kong," kata netizen. 


"Siapa awak? Maaf, awak tak famous pun," tambah netizen lain. 


Sumber: Asia One

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo