Slider

'Ramai salah faham, 'hauk' tu dituju kepada face mask Jovian tiruan di pasaran' - Jovian Mandagie



Sedar diri dikecam ramai berhubung kenyataan menyokong penguatkuasaan pelitup muka bukan perubatan perlu perakuan dan penanda Sirim, pereka fesyen Jovian Mandagie yang juga menantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tampil memberi penjelasan. 


Menurut Jovian, netizen tidak sepatutnya melemparkan kata-kata yang tidak wajar terhadap dirinya lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, bulan yang mulia. Dia menegaskan, jenama perniagaannya sudah 15 tahun berada di pasaran dan reputasinya naik di atas usahanya sendiri selama ini. 


"Ramadhan bulan suci ini, bukan saja puasa perut. Patutnya pertuturan pun patut dijaga. Tak perlu kot nak caci maki saya dan fitnah yang bukan-bukan tentang bisnes saya. 


"Jenama Jovian dah berada di pasaran 15 tahun, makin berkembang atas reputasi dan kualiti barangan kami, bukan sebab-sebab lain.


"Alhamdulillah, Jovian Mask berjaya berada dalam pasaran kerana sokongan semua Jovianista atas kualitinya yang memang bagus, anti jerawat dan mudah bernafas itu tak boleh dinafikan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Instastory baru-baru ini. 


Memetik laporan dari Kosmo, Jovian berkata ramai netizen yang salahfaham dengan perkataan 'hauk' dalam kenyataannya tempoh hari yang mana perkataan itu sebenarnya dituju kepada pihak yang menciplak idea produk keluarannya. 


"Saya nak jelaskan sikit pasal pelitup muka 'hauk' tempoh hari. Banyak yang salah faham, apa yang saya maksud itu ialah pelitup muka Jovian tiruan yang berleluasa di pasaran. 


"Tiada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran. Lebih dua tahun pelitup muka Jovian tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan menggunakan rekaan, monogram, gambar promosi, nama dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna. 


"Saya rasa sesuailah saya gunakan istilah hauk itu pada mereka. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tiada niat saya nak guris hati kalian," katanya. 


Jovian juga menafikan dirinya mencadangkan perakuan dan penandaan logo Sirim pada pelitup muka atas kapasiti dirinya sebagai menantu Perdana Menteri. 


"Bukan permintaan saya mahupun keuntungan bagi saya. Untuk makluman semua, apabila undang-undang dikuatkuasakan, kos akan ditanggung kita semua sebagai penjual? Dari mana pula saya akan dapat untung lebih? Dan saya boleh jamin bahawa produk saya, jenama saya bukan yang pertama ada cop Sirim. Banyak jenama di luar sana dah ada cop Sirim," ujarnya. 


Jovian berharap isu tersebut tidak lagi dipanjangkan dan menasihatkan netizen memeriksa dahulu info yang dibaca sebelum terus percaya dengan apa yang dibaca itu. 


"Saya harap isu ini habis di sini. Siapa yang dah menyumpah saya, lain kali selidik dan tanya dulu. Nevertheless saya doakan anda semua panjang umur dan bahagia dunia akhirat," katanya.

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo