Slider

'Responden sepatutnya sedar kawasan kemalangan itu pencahayaannya tidak begitu terang pada jam 3.20 pagi' - Mahkamah berpuas hati, kesalahan Sam Ke Ting berjaya dibuktikan

Sam Ke Ting | Foto Head Topics

Semenjak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Sam Ke Ting atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan lapan remaja bermain basikal lajak di lebuh raya pada jam 3.20 pagi, maut dalam kemalangan lima tahun lalu, ramai netizen menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu. 


Bagaimanapun, keputusan itu dibuat setelah mahkamah berpuas hati selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan wanita berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Dalam penghakiman penuh Hakim Abu Bakar Katar berkata, pihak responden (Sam) gagal mengemukakan pembelaan pada peringkat pendakwaan perbicaraannya.


Kenyataan tidak bersumpah wanita berusia 27 tahun itu dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya untuk membela diri, adalah penafian kosong semata-mata yang difikirkan kemudian. 


"Responden dalam pembelaannya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri. Namun versi ini tidak pernah ditimbulkan responden semasa kes pendakwaan. 


"Mahkamah Bicara (Mahkamah Majistret) terkhilaf apabila gagal menimbangkan pembelaan responden tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas ke pendakwaan khasnya responden yang memandu keretanya secara merbahaya, mengambil kira keadaan jalan yang berselekoh dan berbukit. 


"Responden seharusnya memandu keretanya dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu dengan laju sehingga menyebabkan kemalangan itu. Responden juga sepatutnya menyedari kawasan kemalangan itu pencahayaannya tidak begitu terang pada jam 3.20 pagi ketika kejadian berlaku, tambahan jarak penglihatan ke hadapan agak terhad. 


"Sehubungan itu, responden seharusnya sedar ada risiko yang mungkin boleh berlaku jika memandu keretanya melebihi had 50 kilometer sejam sebelum sampai di tempat kemalangan," katanya dalam penghakiman penuhnya. 


Sam dalam pembelaannya juga dikatakan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan. Sebaliknya pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 


Justeru, mahkamah memutuskan responden adalah bersalah dan disabitkan pertuduhan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir kes pembelaan.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo