Slider

'Saya kerja 12 jam gaji RM1,000, pekerja bangsa lain pula dapat RM1,400' - Gadis dibuang kerja selepas buat aduan ke Jabatan Tenaga Kerja



Gara-gara membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), seorang gadis berusia 22 tahun telah dibuang kerja oleh majikannya.


Fatin Nur Hidayah Ramli, terdahulu mendakwa dia telah ditindas oleh majikan kedai gajet yang memberi layanan diskriminasi berhubung pembayaran gaji pokok yang diterimanya berbeza dengan pekerja lain.


Difahamkan, semasa Fatin memohon bekerja di kedai itu dia meletakkan anggaran gaji pokok yang diterima adalah sebanyak RM1,200. Namun pengurus cawangan Ipoh itu memaklumkan, gaji pokok di situ adalah RM1,000 sahaja. Tanpa menandatangani sebarang dokumen, Fatin bekerja di kedai itu selama lima bulan di mana dia perlu bekerja selama 12 jam sehari.


@fatinramleey_

Jadi lah pekerja yang bijak. Sek kito jange pecoh. 😋🤪😜

♬ original sound - Semi🚛Truck


Layanan diskriminasi itu mula diketahui selepas rakan sekerjanya dari cawangan Johor menghubungi dia untuk bertanya mengenai gaji pokok. Fatin yang jujur memaklumkan, gaji pokoknya berjumlah RM1,000 sahaja. Tetapi rakannya pula berkata, dia menerima gaji pokok RM1,100. Hal itu menimbulkan tanda tanya kerana majikan mereka adalah orang yang sama. 


"Saya berjumpa dengan pengurus untuk bertanya kenapa gaji pokok saya berlainan. Pengurus beri alasan dia hanya mengikut arahan majikan sahaja. Katanya, Johor lebih bandar berbanding Perak. Tetapi hakikatnya, cawangan ini dekat Ipoh. Jadi, alasan itu tak boleh digunapakai," katanya. 


Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, Fatin mula mencari iklan yang disebarkan oleh pengurusnya di media sosial untuk mencari pekerja baharu kerana kedai itu kerap mengalami masalah kekurangan pekerja yang berhenti secara tiba-tiba. 


Usahanya membuahkan hasil apabila dia terjumpa posting jawatan kosong yang dimuat naik oleh pengurusnya. Daripada iklan tersebut, Fatin mendapati majikannya menawarkan gaji RM1,100 bagi pekerja di Johor. Tetapi di Perak, gaji pekerja masih RM1,000. 


Turut ditemui iklan yang sama dalam bahasa Cina. Setelah diterjemah, Fatin mendapati iklan itu menawarkan gaji minimum sebanyak RM1,400. 


Apabila tiba pada hari gaji, Fatin bertanya kepada semua rakan sekerja berapa gaji yang mereka perolehi dan terbukti gaji mereka semua berbeza-beza. Malah ada yang dibayar gaji RM1,400, sedangkan pekerja itu baru sahaja bekerja selama tiga minggu. 


Dengan semua bukti-bukti yang sedia ada itu, Fatin terus membuat aduan di JTKSM. Tindakannya itu mengundang kemarahan majikan yang bengang apabila menerima surat dari JTKSM. Majikan berkenaan kemudian meminta pengurus cawangan Ipoh memecat Fatin serta-merta tanpa sebarang notis. 


"Selepas surat jabatan buruh sampai kepada syarikat, majikan arahkan manager untuk berhentikan saya. Tapi saya gelakkan manager itu dan ucap terima kasih sebab buang saya tanpa notis. Jadi, bolehlah tambah aduan kedua kerana dibuang kerja tanpa notis," katanya. 


@fatinramleey_ Reply to @kokelavsi ♬ original sound - Baby🤎


Kes itu kemudian dibawa ke mahkamah dan setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, hakim mendapati bekas majikannya bersalah serta diperintah untuk membayar pampasan sebanyak RM4,364.04 bagi isu tuntutan gaji dan RM1,120 atas kesalahan membuang pekerja tanpa notis. 


Fatin tidak menyangka, perkongsiannya itu tular di media sosial. Malah ramai yang tampil meluahkan mereka pernah menjadi mangsa majikan yang tidak bertanggungjawab seperti itu. 


Sumber: TikTok Fatin, mStar Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo