Slider

'Saya mohon maaf kepada masyarakat, jangan babitkan keluarga saya' - Aliff Syukri

Foto Aliff Syukri | Malakat Tribune


Usahawan Aliff Syukri dan mereka yang terbabit dalam video muzik raya kontroversi dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu siasatan, susulan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima banyak aduan mengenai video tersebut. 


Aliff tiba di Ibu Pejabat SKMM pada jam 9.58 pagi tadi dan telah memberi keterangan selama lima jam. Sebaik saja keluar, Aliff yang ditemui wartawan berkata, dia memohon maaf kepada semua yang berasa kurang senang dengan video tersebut. 


"Saya memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan lagu, video dan saya nak minta maaf banyak-banyak. Saya memohon supaya jangan babitkan keluarga saya, mak saya. Mak saya sedang mengerjakan umrah. 


"Jangan salahkan isteri saya kerana dia tidak bersalah. Jangan salahkan bonda, bonda tidak bersalah," katanya yang juga berterima kasih kepada SKMM. 


Januari lalu, Aliff pernah mengatakan dirinya serik menimbulkan kontroversi kerana mahu menjaga imej diri dan keluarga, selain mahu menjadi ahli perniagaan yang sebenar. Kenyataan itu dikeluarkan kerana anak-anaknya mula bertanya mengenai video viral yang melibatkan dirinya.


Bagaimanapun, 'keserikan' itu hanya mampu bertahan selama dua bulan apabila Aliff tampil menerbitkan video muzik raya yang menampil sekumpulan penari lelaki melakukan tarian yang tidak sepatutnya, sekali gus mencemari kesucian bulan Ramadan, bulan yang mulia. 


Ibunya, Rozita Ibrahim, sebelum ini pernah menegur perbuatan anak lelakinya itu. Bagaimanapun teguran itu langsung tidak diendahkan dan penerbitan video itu tetap diteruskan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo