Slider

SKMM panggil Aliff Syukri & semua yang terlibat dalam video raya kontroversi untuk siasatan



Usahawan Aliff Syukri Kamarzaman, 36, yang menerbitkan video muzik raya kontroversi telah diarahkan memadamkan video tersebut dari semua platform media sosial. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, mengatakan video tersebut tidak bersesuaian untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal. 


"Sebagai tindakan awal, klip video ini telah saya rujuk kepada JAKIM untuk dibawa ke pihak berkuasa," katanya. 


Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mengambil maklum mengenai video kontroversi itu dan telah mengenal pasti individu-individu yang terbabit dalam video tersebut serta akan dipanggil untuk siasatan. 


Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Annuar Musa berkata, mereka yang terlibat akan diberi notis hadir ke ibu pejabat SKM M di Cyberjaya hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 


Annuar juga mengesahkan pihaknya banyak menerima aduan daripada orang ramai, termasuk daripada JAKIM berhubung video itu.


Dalam video muzik raya yang diterbitkan oleh Aliff Syukri menunjukkan dia bersama dengan sekumpulan penari lelaki yang didakwa menari secara keterlaluan sehingga timbul dakwaan usahawan itu sedang mempromosi budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). 


Sedar video itu dikecam teruk oleh banyak pihak, Aliff Syukri tetap enggan memadamkan video tersebut dan meminta netizen berfikiran secara terbuka untuk menerima 'seni'nya itu. 


Jelas Aliff Syukri lagi, beberapa penari lelaki yang meliuk lentuk dalam video muzik raya itu adalah penari profesional. 


Sedangkan pada hujung Januari lalu, Aliff Syukri mengeluarkan kenyataan bahawa dia berazam mahu mengurangkan kontroversi melibatkan dirinya. Selain itu, dia tidak mahu isu yang tular itu akan membuatkan dirinya malu dengan anak-anak, sekali gus mencemarkan imejnya sebagai seorang bapa. 


"Anak pertama saya pun dah masuk tingkatan tiga. Bila dia tanya, 'abah kenapa video viral macam ni', kita pun jadi malulah. Jadi saya fikir, tak apalah walaupun kurang kontroversi, maruah itu lagi penting. 


"Kita nampak anak kita dah membesar remaja, jadi anak bujang dan anak dara. Kita tengok betapa struggle membesarkan mereka, kita pun dah tak boleh nak marah-marah sebab takut mereka memberontak, jadi dari situ kita sedar. 


"Saya nak jaga reputasi saya sebagai bapa. Saya mahu hubungan perkahwinan saya dan isteri berkekalan. Saya nak rasa dihormati oleh isteri, anak-anak dan masyarakat," katanya memetik laporan dari mStar 30 Januari 2022. 


Dalam temubual itu, Aliff Syukri tidak menafikan dirinya mahu popular sehingga usia 60 tahun, tetapi bukanlah dengan cara yang murah. 


"Kita kena sedar diri kita akan tua. Tak lama lagi dah nak masuk 40 tahun, rambut pun dah beruban. Jadi saya fikir sekarang ini masa untuk saya jadi ahli perniagaan sebenar. Bukan nak gelenya-gelenya. Saya tak nak dah! Nanti orang kata orang tua tak sedar diri. 


"Saya mengaku awalnya saya kejar glamour sebab saya bukan artis. Tapi rupa-rupanya glamour tanpa duit pun tak ada erti. 


"Sejujurnya saya tak suka dengan kamera! Kalau nak cari kontroversi mudah sahaja, asal ada orang buat isu, saya boleh saja menyelit sebab follower saya dah tinggi. Bukan nak riak, tapi itulah hakikatnya. 


"Jadi, saya sekarang saya mahu lebih matang, tengok orang lain buat gimik itu dan ini, saya rasa tak apalah sebab kita dah rasa dulu. Tak perlu lagilah. Saya cuma nak cari ketenangan," ujarnya. 


Bagaimanapun, kata-kata dan semangat mahu melakukan perubahan demi kebaikan diri dan keluarga, akhirnya hanya tinggal kata-kata apabila Aliff Syukri kini terbabit dalam kontroversi susulan tindakannya menerbitkan video muzik raya yang dikatakan tidak menghormati bulan Ramdan dan cuba mempromosi budaya LGBT. 


Sumber: Kosmo, Bernama, mStar Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo