Slider

Tak ada duit bayar tambang RM400, remaja kelar leher pemandu e-hailing



Polis menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang mengelar leher pemandu e-hailing dalam kejadian di Jalan Ipoh, Rabu lalu. 


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek ditahan pada jam 4.55 petang Sabtu di sebuah premis perniagaan di Jinjang. 


Siasatan polis mendapati, mangsa berusia 63 tahun itu telah mengambil suspek di Tangkak, Johor, dengan menggunakan aplikasi e-hailing. 


Sebaik saja tiba di destinasi, mangsa memberitahu suspek bahawa jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar adalah RM400. Suspek bagaimanapun enggan membayar tambang tersebut kerana tidak mempunyai wang. 


Mangsa kemudian mengambil keputusan untuk menghantar suspek ke balai polis. Takut dikenakan tindakan, suspek bertindak mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat sebelum melarikan diri dan meninggalkan senjata itu di dalam kereta mangsa. 


Dalam keadaan yang masih cedera, mangsa memandu ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan. 


Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo