Slider

Tiket flight ke Sabah, Sarawak naik 566% (RM2,000 - 2 hala) menjelang Hari Raya Aidilfitri



Kenaikan tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan bukanlah kejutan bagi rakyat Malaysia, tetapi ia adalah senario yang dijangkakan pada setiap tahun.


Dengan pembukaan semula sempadan negara dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bagi individu yang sudah dua tahun tidak kembali bertemu keluarga disebabkan sekatan Covid-19, sudah pastilah teruja untuk pulang ke kampung halaman.


Syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching menawarkan tiket antara RM300 untuk penerbangan pergi balik semasa musim bukan perayaan.


Bagaimanapun, pemantauan Bernama terhadap laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April-8 Mei).


Lily Surianti Suardi, 23, pelajar dari Sabah yang sedang mengikuti program ijazah di Universiti Selangor (UniSEL), berpendapat bahawa syarikat penerbangan harus mempertimbangkan untuk menetapkan kadar berasingan bagi penuntut yang melanjutkan pengajian di semenanjung.


Beliau berkata ini kerana tidak semua penuntut daripada keluarga berkemampuan dan oleh itu syarikat penerbangan tidak boleh menetapkan harga yang melebihi kemampuan semua pihak, terutama golongan pelajar.


"Jika harga tiket (kira-kira) RM1,000 hanya untuk harga tiket penerbangan, banyak pihak yang tidak mampu, lebih-lebih lagi ditambah dengan pendapatan keluarga ekonomi rendah.


"Ada yang datang daripada kalangan B40 ingin balik raya namun disebabkan harga tiket melonjak naik, penuntut macam saya membatalkan hasrat untuk pulang raya di kampung halaman," katanya ketika dihubungi Bernama.


Bagi eksekutif, Fatin Afiqah Yamin, 25, dia sudah membeli tiket AirAsia ke Kuching pada awal Mac dan dijangka berlepas pada 23 April.


Beliau berkata tiket itu dibeli awal untuk mengelak permintaan tinggi tiket pada musim perayaan kerana tempat duduk yang terhad.


"Sebagai perbandingan, tiket yang dibeli untuk tarikh tersebut adalah RM198, tetapi sekarang telah meningkat kepada RM318 apabila saya menyemak semula harga tiket terkini, hari ini.


"Jadi (RM318) masih mahal dan perbezaannya besar daripada RM198 yang dibeli untuk penerbangan pergi balik," kata Fatin Afiqah.


Sebelum itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Fandyi Sanizan pada 6 April lalu, membuat hantaran merayu syarikat penerbangan tempatan untuk mengurangkan harga tiket penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sandakan.


Melalui syot kilat yang dihantar, ia menunjukkan tiket sehala oleh AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sandakan dijadual berlepas pada 30 April ini, berharga RM1,049 manakala harga tiket pergi balik oleh FireFly bagi laluan sama dan tarikh yang sama berharga RM1,400.


Pemerhatian Bernama berdasarkan komen pengguna daripada kumpulan Facebook awam, AirAsia Flight Share Information pada 26 Mac lalu, yang bertanya kepada ahli-ahlinya mengenai tiket penerbangan yang dibeli untuk perjalanan Hari Raya Aidilfitri ke Sabah, menunjukkan rata-rata telah membeli tiket itu seawal tahun lepas.


Seorang daripada mereka yang menggunakan nama pengguna GJ Musang berkata: "Beli tahun lalu pergi balik untuk tiga orang RM1,682."


Seorang lagi pengguna, Jue Dalilah mengulas bahawa keluarganya membeli tiket dua hala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kesemua 18 ahli keluarga pada Disember tahun lalu, berharga RM258 seorang (sehala RM129).


"Satu family (keluarga) balik beraya, dah berapa tahun tak dapat balik.. time (masa) beli tu berbelah bahagi juga takut la ada apa-apa lagi musim pandemik ni kan.. nasib la beli ja hari itu. Telah beberapa tahun kami tidak pulang (ke Tawau) untuk sambutan Hari Raya," katanya.


Pada 27 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata syarikat penerbangan perlu mencari jalan tengah bagi menyelesaikan isu kenaikan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terutamanya menjelang cuti akhir tahun dan musim perayaan.


Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sememangnya memahami kekangan perniagaan dihadapi syarikat penerbangan disebabkan Covid-19 yang menjejaskan operasi serta pendapatan syarikat dan tidak akan campur tangan dalam urusan syarikat penerbangan dengan menetapkan harga siling tertentu.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo