Slider

'Alasan tambang mahal tak masuk akal, jangan paksa saya gantung lesen syarikat e-hailing' - Menteri Pengangkutan



Lesen operasi syarikat pengendali e-hailing (EHO) boleh ditarik balik atau digantung jika mereka melanggar surcaj melebihi 200 peratus daripada tambang asas iaitu antara 70 hingga 90 sen satu kilometer, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.


Beliau berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan menyiasat perkara itu kerana surcaj tersebut telah diputuskan pada 2019 yang menjadi undang-undang yang telah dipersetujui.


"Dari segi tambang asas untuk EHO mengenakan 70 sen hingga 90 sen satu kilometer. Mereka juga diberi kelonggaran mengenakan surcaj yang ada peraturan, melihat kepada permintaan dan penentuan harga dinamik,” katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas mengumumkan penambahbaikan oleh Prasarana Malaysia Bhd untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, di Putrajaya hari ini.


Wee juga mengingatkan supaya EHO tidak terus mendesak kerajaan dengan pelbagai permintaan dan alasan atau Kementerian Pengangkutan (MOT) terpaksa mengambil tindakan mengawal selia industri itu.


"Jangan paksa saya, satu hari nanti saya terpaksa mengawal selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sehingga kami terpaksa ganggu ekonomi gig, sebab itu saya kata kita kena buat secara harmoni," katanya.


Mengenai alasan tambang mahal kerana permintaan mendadak susulan pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak cukup pemandu, Wee berkata alasan itu tidak masuk akal.


Selain itu, beliau menyifatkan dakwaan EHO bahawa MOT tidak membantu industri e-hailing sebagai amat mengecewakan kerana kerajaan telah memberi kemudahan kepada mereka untuk mencari pekerja.


Namun, katanya, mereka meminta keistimewaan supaya Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailling dimansuhkan.


"Kepada mereka yang mahu berkecimpung menjadi pemandu e-hailling mereka perlu mendapatkan PSV...ia adalah dasar yang jelas,” katanya.


Wee juga berkata EHO tidak boleh menyalahkan MOT sekiranya mereka tidak boleh mencari pemandu kerana mereka telah diberi kelonggaran untuk kursus PSV yang dikendalikan di syarikat masing-masing.


Beliau turut menyeru orang ramai yang mengalami tambang e-hailing empat kali ganda tinggi supaya tampil membuat laporan rasmi dan MOT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika laporan itu didapati betul.


Beliau berkata ketika ini sebanyak 28 syarikat e-hailling yang beroperasi di Lembah Klang termasuk yang berkapasiti kecil selain perkhidmatan teksi.


Katanya ini membolehkan pengguna membuat pilihan menggunakan perkhidmatan yang lebih murah sekiranya tambang yang ditawarkan tidak munasabah.


Selain itu Wee turut menegaskan bahawa MOT tidak memihak kepada EHO, ketika diminta mengulas kenyataan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai perkara itu.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo