Slider

Belasah warga emas membelok secara mengejut, penunggang motosikal mengaku tak bersalah



Penunggang motosikal yang memukul warga emas dalam video tular baru-baru ini, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mencederakan mangsa. 


Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman. 


Baca: 'Saya maafkan dia, saya tak tunjuk benda tu' - Mangsa nafi tunjuk isyarat lucah terhadap suspek


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja memukul Zainol Din Hussain sehingga cedera dalam kejadian di Padang Jawa pada jam 12 tengah hari, Ahad, 22 Mei 2022. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa atau saksi kejadian. 


Peguam yang mewakili tertuduh, Abi Mursyidin Awal, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin pada kadar rendah untuk anak guamnya yang hanya bekerja sebagai mekanik, selain perlu menanggung ibu bapanya di kampung. 


Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan perintah tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi kejadian. Kes dakan disebut semula pada 13 Julai 2022. 


Semalam, Zainol dalam sidang media khas memaafkan tertuduh tetapi menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang. Warga emas itu turut menafikan dakwaan kononnya dia menunjukkan isyarat lucah yang menyebabkan tertuduh bertindak menyerangnya. 


"Saya seikhlas hati memohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi di masa akan datang. 


"Umur saya dah 60 lebih, ada penyakit buah pinggang, saya kena malu dengan diri saya dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu (dakwaan tunjuk isyarat lucah)," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo