Slider

Bersatu dakwa Zuraida ada masalah disiplin, UMNO gesa PM usah kekalkannya dalam Kabinet



Susulan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, melompat parti, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan akan mengemukakan calon pemimpin dari Bersatu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, untuk menggantikan Zuraida. 


Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Muhyiddin selaku presiden dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin Bersatu. 


Baca: Zuraida lompat keluar dari Bersatu, sertai Parti Bangsa Malaysia


"Biro Politik Bersatu juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti. Kerana itulah bagi saya, tindakan Zuraida bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka," katanya. 


Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Faiz Na'aman berkata, pihaknya sebelum ini sedar Zuraida terlibat dengan aktiviti parti lain semasa PRN Melaka dan Johor. 


MPT pernah membuat keputusan untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya melalui surat tunjuk sebab. Tetapi Zuraida tidak memberi respon. 


"(Zuraida) terlibat dengan aktiviti parti lain, tidak hadir ke mesyuarat MPT lebih dari tiga kali berturut-turut tanpa sebab dan tidak membantu Perikatan Nasional) di PRN Melaka dan Johor," katanya. 


Zuraida yang melompat parti dari Bersatu ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberikan alasan sudah berfikir secara mendalam dan tertarik dengan prinsip parti baharu itu. 


Tindakan Zuraida itu turut menarik perhatian presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang memberi peringatan kepada Ismail Sabri untuk tidak lagi mengekalkan jawatan Ahli Parlimen Ampang itu dalam kabinet. 


"Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat," katanya.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo