Slider

'Diorang sengaja letak patung Teletubbies situ untuk aniaya pelanggan' - Kedai mainan mohon maaf, pulangkan semula wang pampasan RM32K



Baru-baru ini tular gambar di media sosial seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikatakan secara tidak sengaja memecahkan patung watak Teletubbies setinggi 1.8 meter yang dipamerkan di sebuah kedai mainan, KK Plus Store, di Langham Place Mall, bernilai HK$50,000 (RM32,919). 


Kecuaiannya itu menyebabkan bapanya terpaksa membayar ganti rugi itu sebanyak HK$30,000 atau RM19,750. Berpuas hati dengan pampasan yang diberi, pihak premis bersetuju insiden itu telah pun diselesaikan. 


Bagaimanapun, ada netizen yang mendakwa patung itu sebelum ini diletakkan penghadang di kelilingnya agar pelanggan tidak berada terlalu dekat. 


Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak berkenaan secara tidak sengaja bersandar pada patung itu yang menyebabkannya terjatuh lalu pecah. Jelas kelihatan dalam video, patung tersebut tidak diletakkan penghadang. 




Netizen mendakwa pihak premis sengaja memindahkan patung itu ke lokasi terbuka agar patung itu dilanggar sehingga terjatuh. Dari kecuaian pelanggan itu kelak, mereka boleh mengaut keuntungan ribuan ringgit secara mudah. 


Menyedari dakwaan tersebut berlegar di media sosial, KK Plus mengeluarkan kenyataan bahawa patung tersebut sememangnya diletakkan di lokasi sama sejak November tahun lalu dan tiada pelanggan mengadu mengenainya. 


Dalam kenyataan itu juga, KK Plus berkata pihaknya belajar dari kesilapan dan akan memastikan insiden seperti itu tidak akan berulang lagi. Namun, kenyataan itu dipadamkan tidak beberapa lama kemudian. 


Sementara itu, Cheng, bapa kepada kanak-kanak itu berkata, anaknya, Lucas, mengalami trauma dan tidak mahu hadir ke sekolah. 




Jelas Cheng, sebelum kejadian berlaku dia sedang menjawab panggilan telefon dan terdengar bunyi objek pecah lalu menoleh ke belakang, melihat Lucas sedang memandang patung Teletubbies pecah. 


"Dia langsung tak bergerak, memandang ke arah patung Teletubbies yang pecah," katanya. 


Cheng kemudian diberitahu oleh kakitangan premis bahawa anaknya telah menendang patung tersebut sehingga jatuh dan pecah berderai. Cheng bersetuju membayar ganti rugi HK$30,000 (RM19,750) seperti yang diminta oleh kedai berkenaan. 


Tidak tahan dikecam dan dituduh sengaja menganiaya kanak-kanak itu, KK Plus mengambil keputusan untuk membuat permohonan maaf dan akan mengembalikan wang pampasan kepada Cheng. 


Sumber: South China Morning Post

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo