Slider

Grab naik harga? Pemandu teksi tersenyum sinis, semakin ramai pelanggan beralih ke perkhidmatan teksi bermeter

Sekadar hiasan | Foto Utusan Malaysia



Sejak kebelakangan ini, ramai pengguna merungut kadar tambang perkhidmatan e-hailing, GrabCar, naik secara mendadak terutamanya ketika waktu puncak. 


Grab dalam kenyataan terkini mengatakan, kenaikan kadar tambang bukan salah mereka, tetapi disebabkan beberapa faktor tertentu seperti pemintaan tinggi tetapi pemandunya kurang, selain faktor kesesakan jalan raya. 


Dalam laporan Harian Metro, Rabu (25 Mei 2022), pemandu teksi akhirnya mampu menarik nafas lega apabila pendapatan mereka meningkat selepas orang ramai mula kembali menggunakan perkhidmatan mereka selepas isu kenaikan tambang perkhidmatan e-hailing. 


Pemandu teksi, S. Karthivel, 39, berkata, dia lega orang ramai kembali memilih menggunakan perkhidmatan teksi berbanding sebelum ini mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan penumpang. Hal itu menyebabkan mereka hanya mampu meraih pendapatan antara RM60 hingga RM70 sehari. 


Namun pada hari ini mereka sudah mula meraih pendapatan dua kali ganda, kira-kira RM150 sehari. 


"Perubahan ini membawa impak yang besar kepada pemandu teksi kerana perkhidmatan teksi dilihat kembali 'bernyawa' sekali gus meningkatkan pendapatan kami," katanya. 


Bagi pemandu teksi, Here Yanto, 43, berkata perjalanan pada waktu puncak memberi peluang besar kepada mereka kerana kebanyakan penumpang enggan menggunakan perkhidmatan e-hailing yang melambung tinggi. 


Ini menyebabkan ramai pemandu teksi kini mengambil penumpang di stesen LRT dan MRT di waktu puncak bermula awal 7 hingga 9 pagi dan 5 hingga 7 petang. 


Perkhidmatan e-hailing yang kerap memainkan harga di waktu puncak membuatkan penumpang terpaksa berfikir dua kali dan akhirnya memilih menggunakan perkhidmatan teksi bermeter yang tambangnya lebih masuk akal. 


Dengan peluang yang ada itu, Here Yanto dan pemandu teksi dapat mencari rezeki lebih meskipun tidak tahu sampai bila senario itu akan berterusan. 


"Kami ada keluarga dan komitmen untuk dibayar. Jadi apabila peluang ini muncul, penat lelah kerja selama 10 jam pun tidak apa kerana ia membuahkan hasil," katanya. 


Laporan penuh, sila layari laman Harian Metro: Pemandu Teksi Lega

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo