Slider

Grab naik kadar tambang dua kali ganda di luar waktu puncak, geng teksi tersenyum sinis

Foto hiasan | Grab Malaysia


Rungutan pengguna mengenai caj perkhidmatan Grab Food terlalu 'mencekik' masih belum selesai, kini timbul pula pengguna mendakwa perkhidmatan GrabCar mengenakan caj perkhidmatan dua kali ganda d luar waktu puncak. 


Menurut seorang penumpang yang meluahkan rasa tidak puas hatinya di Twitter berkata, syarikat e-hailing berkenaan mengenakan caj perkhidmatan yang dianggap keterlaluan sehingga dia berharap teksi bermeter dapat membuat kemunculan semula agar dapat 'mengajar' syarikat e-hailing tersebut. 


Ini kerana, caj perjalanan pulang ke rumahnya sebelum ini hanya sekitar RM14 tetapi kini telah dinaikkan sehingga RM26.30. 


"Teksi bermeter akan membuat kemunculan semula. (Sudah) tiba masanya untuk kurangkan permintaan terhadap GrabCar. Caj biasa untuk pulang ke rumah adalah RM14," tulisnya. 


Seorang lagi individu berkata, perjalanan ke tempat kerjanya kebiasaannya mengambil masa lebih kurang 10 minit - telah meningkat daripada caj maksimum RM6 ke RM10, sekali gus menyebabkan perjalanan harian ke tempat kerja telah meningkat hampir dua kali ganda kepada ramai orang yang menggunakan perkhidmatan itu. 


Selain isu kenaikan caj perkhidmatan, pengguna turut melabel Grab sebagai kedekut dalam memberi mata ganjaran kepada pelanggannya. 


"Dulu nak tebus baucar RM5 dengan (kaedah bayaran) Paylater hanya perlu 550 mata saja, kemudian dinaikkan kepada 600 mata dan sekarang jadi 800 mata. 


"Untuk peringkat platinum kini (perlukan) tiga mata untuk RM1. Rindu Grab dulu-dulu ketika pernah dapat sembilan mata untuk RM1," kata Raziman. 


Sementara itu, seorang wakil Grab memaklumkan syarikat tersebut sedang melalui 'tempoh senyap' dan tidak dapat memberi sebarang komen mengenai isu tersebut sehingga Isnin depan. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo