Slider

Harga semua barangan keperluan dijangka naik 60% bulan depan (Jun) - Pakar Ekonomi

Foto hiasan | The Sun Daily


Harga semua barang keperluan diramal akan meningkat sehingga 60 peratus pada bulan depan (Jun) disebabkan kerakusan dan keperluan peniaga serta pelaksanaan gaji minimum RM1,500. 


Lapor media tempatan, rakyat Malaysia telah mula merasai kesan kenaikan harga itu sejak bulan Ramadan apabila harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran naik secara mendadak. 


"Sebelum ini saya beli ikan kembung dalam anggaran RM12 sekilogram, namun kini mencecah RM19 sekilogram. Peniaga meletakkan harga lebih mahal jika ikan segar sebelum menurunkan sedikit harga selepas beberapa hari jika ikan tidak terjual," kata pekerja swasta di Sikamat, Azman Baharudin.


Sainon Dahalan, 69, dari Senawang berkata, kenaikan harga barang memang ketara ketika ini, tetapi pengguna tiada pilihan.


"Saya perasan harga cili padi sebelum ini RM18 sekilogram, tetapi kini harganya mencecah RM25 sekilogram, selain harga sayuran seperti pegaga. 


"Harga ayam juga ada berlaku kenaikan tetapi kerajaan mengawalnya dengan menetapkan harga siling. Kalau orang tengah jadi puncanya, harap kerajaan akan mengambil tindakan," katanya.


Sementara itu menurut pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kenaikan harga barangan makanan mentah boleh menyebabkan kesan berantai yang melibatkan peningkatan dalam industri makanan dan minuman. 


"Kenaikan harga barang bergantung kepada permintaan dan penawaran. Apatah lagi dengan penambahan gaji minimum RM1,500 dan menyebabkan kuasa membeli meningkat. Jadi, peniaga mengambil peluang untuk menaikkan harga," katanya. 


Selain itu, perang Rusia-Ukraine juga telah menjejaskan sektor import yang mengakibatkan penawaran kurang, manakala permintaan tinggi, peningkatan kuasa beli dan kenaikan gaji minimum bermakna peniaga akan menaikkan harga barang. Disebabkan itu, pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli untuk kelangsungan hidup. 


Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo