Slider

Kadar tambang naik, bukan salah kami - Grab



Grab Malaysia menafikan pihaknya menaikkan kadar tambang dan menegaskan pihaknya menggunakan model harga dinamik yang memastikan penumpang mempunyai pengangkutan apabila memerlukan dan rakan kongsi pemandunya diberi pampasan sewajar dan adil untuk masa serta usaha mereka. 


Menurut Grab, tambang perkhidmatan akan melambung atau naik apabila bilangan orang yang menempah perkhidmatan itu tinggi berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, sekali gus menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada. 


Selain itu, turun naik harga perkhidmatan itu juga disebabkan pengurangan bilangan pemandu Grab yang mampu menampung peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan daripada penumpang


Pada pertengahan Mei 2022, bilangan rakan kongsi pemandu di platform itu masih kurang daripada 70 peratus berbanding semasa sebelum Covid-19. Disebabkan wabak itu juga, ramai rakan kongsi pemandunya menjadi tidak aktif dan juga kerana kekurangan permintaan daripada penumpang.


Selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baru-baru ini turut menyaksikan peningkatan permintaan tempahan perjalanan di platform itu


Grab turut mendakwa, penetapan pelbagai syarat oleh pihak kawal selia seperti latihan selama enam jam, ujian di sekolah memandu, pemeriksaan kenderaan, pembelian insurans dan mengumpul serta menyerahkan dokumen kepada pelbagai agensi kerajaan untuk diproses menjadi faktor halangan pemandu baru untuk menyertai perkhidmatan Grab. 


"Ini melambatkan rakan kongsi pemandu baharu yang boleh menyertai dan menawarkan perkhidmatan untuk mendapat manfaat mencari pendapatan tambahan yang telah dicipta untuk mereka," kata Grab. 


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong semalam berkata, penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang, selain menjejaskan kualiti perkhidmatannya. 


Beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda negara. Kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan. 


Dalam masa sama, fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu telah menyebabkan peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing. Dalam tempoh sama juga menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalani aktiviti harian turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. 


Faktor-faktor tersebut telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing yang merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran


Dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj di mana kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.


Pengendali e-haling dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka. 


Dalam perbincangan pihak Kementerian Pengangkutan dengan syarikat pengendali e-hailing baru-baru ini, syarikat penyedia perkhidmatan itu memberi jaminan akan memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini. 


Di pihak kerajaan, kerajaan akan terus memastikan lebih banyak syarikat pengendali e-hailing bersama-sama perkhdimatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo