Slider

Masalah kurang bekalan makanan & harga barang naik, MB Perak saran rakyat tanam sayur & ternak haiwan untuk kegunaan sendiri

MB Perak | Foto Berita Harian

Isu kekurangan bekalan makanan dan isu kenaikan harga barangan yang dilihat lambat ditangani oleh kerajaan membuatkan ramai rakyat terkesan dan bimbang bila masalah tersebut akan berakhir. 


Bagi menangani isu tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan rakyat mengambil inisiatif untuk menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri. 


"Macam kambing, lembu, kerbau dan ayam, ia boleh diternak dan ditampung oleh usaha ternakan orang tempatan. Sekurang-kurangnya kita ternak (haiwan) atau tanam sayur-sayuran untuk sara diri," katanya. 


Dengan inisiatif itu katanya, rakyat bukan sahaja menangani dua masalah itu, malah dapat mengurangkan kebergantungan bekalan makanan daripada luar negara. 


"Jadi kerana itu, banyak tempat kita mengadakan kempen iaitu tanam apa yang kita nak makan dan makan apa yang kita tanam. Selebihnya, jual," katanya. 


Dalam pada itu, Saarani memberi jaminan bekalan ayam di negeri itu adalah mencukupi.


"Setakat semalam saya dimaklumkan kita ada penternak yang besar iaitu Dinding Poultry dan setakat ini mereka memberi jaminan bekalan di Perak mencukupi. 


"Sekarang tiada masalah, kecuali kalau orang sengaja menyorokkan bekalan (ayam) itu untuk tujuan menaikkan harga. Tetapi di peringkat bekalan, tiada masalah," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo