Slider

Murid Tahun 4 maut digilis treler selepas motosikal ditunggang ibunya terbabas



Malang tak berbau. Seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Bukit Mertajam dilaporkan maut akibat digilis treler dalam kemalangan di Jalan Kampung Baru Alma, semalam. 


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia 10 tahun maut serta-merta di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala ibunya cedera. 


Siasatan awal mendapati, mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Alma itu dijemput ibunya untuk pulang ke rumah. Sehari sebelum kejadian, mangsa dikatakan ceria bersama rakan serta gurunya dalam satu majlis sambutan Aidilfitri di sekolahnya.




Bagaimanapun pada waktu kejadian itu berlaku, motosikal yang ditunggang dua beranak itu dipercayai terbabas atau hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya. 


"Ketika itu, penunggang motosikal (ibu) sempat menyelamatkan diri, namun pembonceng (mangsa) digilis sebuah lori (treler) yang datang dari arah sama. Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat, manakala ibunya juga dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Gambar-gambar kejadian yang menimpa dua beranak itu turut tular di media sosial, mengundang rasa simpati netizen terhadap mangsa. Mereka turut mendoakan agar keluarga mangsa tabah menerima dugaan.






Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo