Slider

'Saya maafkan dia, saya tak tunjuk benda tu' - Mangsa nafi tunjuk isyarat lucah terhadap suspek



22 Mei lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan dan direman selama empat hari kerana memukul warga emas seperti video yang tular di media sosial beberapa hari lalu. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12 tengah hari berhampiran jejantas di Padang Jawa.


Ketika kejadian, mangsa berusia 61 tahun bersama dengan isteri dan cucu dalam perjalanan ke Putrajaya. Tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba membelok ke kanan dan suspek yang menaiki Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta menjerit dan memarahi mangsa. 


Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada pelanggaran berlaku, tetapi sebaik saja keluar suspek terus menendang dada kirinya dan dipukul bertubi-tubi. 


Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala, mata dan rusuk, tampil membuat laporan polis. 


Siasatan awal polis mendapati, suspek berang dengan mangsa yang didakwa membelok secara tiba-tiba, lalu bertindak agresif memukul mangsa. 


Di media sosial, ada netizen yang mendakwa mangsa terdahulu menunjukkan isyarat lucah yang menyebabkan lelaki itu berang lalu memukulnya tanpa belas kasihan. 


Dalam sidang media hari ini, mangsa, Zainol Din Hussain, tampil memberi penjelasan dan mengambil keputusan untuk memaafkan suspek walaupun kesan kejadian itu memberi kesan kepada kesihatannya. 


"Saya seikhlas hati memohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi di masa akan datang. 


"Saya juga merasa sedih dengan apa yang berlaku yang mana dia baru berusia 23 tahun, iaitu di peringkat umur anak saya. Walaupun saya sedia memaafkannya, perkara ini saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya," katanya. 


Zainol juga menafikan dakwaan bahawa dia menunjukkan isyarat lucah dan menegaskan dia tidak akan melakukan perbuatan seperti itu, apatah lagi dirinya adalah warga emas. 


"Umur saya dah 60 lebih, ada penyakit buah pinggang, saya kena malu dengan diri saya dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu. 


"Secara jujur saya tak buat benda tu dan saya juga tanyakan kepada isteri yang ada bersama, adakah saya berbuat demikian secara tidak sengaja kepada pemuda itu dan dia kata tidak ada," katanya. 


Zainol juga menafikan dakwaan kononnya dia memanggil penduduk kampung memukul suspek. Malah, orang kampung sudah mengenali dirinya selama 40 tahun menetap di kampung itu. 


"Saya tiada masa nak panggil orang kampung masa tu. Kejadian itu terlalu pantas dan di luar kawalan saya. Orang kampung ke  tempat kejadian sebab mereka kenal saya dan cuba untuk membantu saya. Jadi, dakwaan saya memanggil mereka untuk memukul pemuda itu adalah salah," katanya. 


Sementara itu, anaknya, Muhammad Azzali Zainoldin, 32, berkata, tujuan sidang media itu diadakan bagi mengelakkan masyarakat salah faham terhadap bapanya dan mahu menceritakan perkara sebenar. 


"Sidang media ini diadakan kerana kita tidak mahu masyarakat membuat pelbagai spekulasi hingga mengundang fitnah dan aib kepada keluarga kami," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo