Slider

"Saya nakal la..' - Awal Ashaari didakwa di mahkamah kerana rosakkan palang pagar

Foto Bernama



Bekas pengacara Melodi, Ahmad Awaluddin Ashaari (Awal Ashaari), 41, didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan perumahan di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara pada 16 April lalu. 


Awal bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. 


Pengacara itu didakwa telah melakukan perbuatan tersebut pada jam 11.30 pagi yang menyebabkan kerugian RM600, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Namun, peguam bela Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan yang konsisten, selain perlu menyara isteri, dua anak dan menanggung ibu bapanya yang sudah berusia. 


Majistret Zhafran kemudian membenarkan Awal dijamin RM2,000 dan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes. 


Ketika ditemui media di luar mahkamah, Awal secara berseloroh berkata, "Saya nakal la..", namun enggan mengulas panjang mengenai kes itu dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut. 


"Saya nak cerita panjang, (rasa) kelakar. Memandangkan ini kes mahkamah, saya serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut. Terkejut juga kerana selepas raya, saya kena Covid-19, kemudian jadi begini pula. Namun saya reda. Nak buat macam mana, sekarang saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai," katanya. 


Peguamnya, Datuk M Reza berkata, pihaknya akan mengkaji dahulu pertuduhan yang dikenakan sebelum menasihati anak guamnya untuk tindakan lanjut. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo