Slider

'Siti Bainun bagi arahan jangan beritahu apa-apa.. Bella melecur kena air panas dalam termos' - Yasmin

Foto Malaysia Now


Saksi pendakwaan kelima bagi kes dera Bella (remaja sindrom down), Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dia tidak menceritakan kepada polis mengenai kain disumbat pada mulut Bella kerana takut dimarahi oleh Siti Bainun Ahd Razali. 


Yasmin mendedahkan perkara itu selepas disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, berhubung kewujudan kain tersebut semasa siasatan dijalankan. 


"Sebab Bainun (pengasas Rumah Bonda) dah bagi arahan jangan beritahu apa-apa. Kalau saya cerita, saya takut nanti Bainun marah. Waktu itu saya tidak percaya di pihak mana-mana pun," katanya. 


Bukan sahaja tidak menceritakan kejadian itu, malah Yasmin tidak menunjukkan kain itu kepada polis kerana kain yang berbau itu sudah dibuang. 


Sementara itu, Yasmin juga menolak cadangan peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, kononnya kejadian mengikat dan tidak mahu memberi air kepada Bella itu dilakukan olehnya. Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kenyataan itu direka bagi tujuan memastikan Siti Bainun dipenjarakan. 


Mengulas mengenai kecederaan lecur dialami oleh Bella, Yasmin memberitahu kecederaan itu disebabkan air panas dari termos, bukannya dari penapis air. 


Yasmin berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan soalan peguam Nurul Hafidzah Hassan bahawa air panas yang tertumpah pada Bella adalah air termos berada di bilik cuci pakaian. 


Hafidzah turut bertanya sama ada saksi pernah memaklumkan perkara itu kepada polis semasa memberikan keterangan di lokasi sehinggakan pegawai penyiasat merampas termos berkenaan sebagai bukti siasatan.


Hafidzah: Setuju dengan saya bahawa Yasmin dipanggil beri keterangan di bawah kondo pada 7 Julai 2021?


Yasmin: Betul.


Hafidzah: Saya cadangkan tak ada keterangan lain yang Yasmin bagi kepada polis kecuali di bawah kondo semasa buat laporan, setuju?


Yasmin: Setuju.


Hafidzah: Yasmin setuju atau tidak semasa di bawah kondo Yasmin dan semua orang menyatakan kepada pegawai penyiasat mengenai air termos yang tertumpah pada tangan Bella, setuju?


Yasmin: Setuju.


Hafidzah: Semasa itu, diceritakan kepada pegawai penyiasat kejadian yang tertumpah daripada termos di belakang laundry, betul?


Yasmin: Setuju.


Hafidzah: Setuju tak termos ini bukan air Cuckoo lah?


Yasmin: Setuju.


Pada perbicaraan lalu, Yasmin pernah bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa Bella dicurah air panas tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.


Menurut saksi itu, dia sendiri mengambil air panas daripada alat penapis air yang mana air itu ada mengeluarkan wap dan pernah tertumpah.


Peguambela memberitahu mahkamah bahawa keterangan Yasmin adalah rekaan semata-mata. Ini memandangkan penapis air di rumah tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali rosak sejak Mac 2021.


Dalam prosiding sama hari ini, saksi itu menjawab tidak pasti punca berlakunya tumpahan air termos yang terkena Bella apabila ditanya peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.


Kejadian tumpahan pada 6 Mei 2021 itu dikatakan berlaku selepas Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni dikenali Balqis kerana remaja itu menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik penghuni terbabit.


Berikutan itu, Yasmin melarikan diri dari rumah kebajikan berkenaan sebelum dihubungi semula oleh Siti Bainun yang memujuknya supaya kembali, namun Yasmin menjawab tidak bersetuju dengan soalan berkenaan.


Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo