Slider

Tengah syok memukat ikan, terjumpa mayat lelaki diikat & disumbat dalam guni

Foto Harian Metro


Mayat seorang lelaki dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, manakala kepalanya sehingga pinggang diserkup dengan guni, ditemui terapung di Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, semalam. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk G Suresh Kumar berkata, mayat lelaki terbabit ditemui hanya berbaju T merah tanpa berseluar dan jari telunjuk serta jari manis tangan kiri memakai cincin perak. 


Mayat mangsa ditemui oleh dua lelaki yang sedang memukat ikan di kawasan berhampiran pada jam 9.30 pagi sebelum terhidu bau busuk. Mereka kemudian ternampak mayat mangsa dalam keadaan terapung dan terlentang dihanyutkan arus berada di sebelah bot. 


Pemeriksaan pihak polis mendapati, mayat sudah mengelupas kulit dan kaki serta dua tangannya diikat menggunakan tali biru. Polis percaya mangsa telah dibunuh dan meninggal dunia sejak tiga hari lalu. 


"Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan dalam guni dan dicampak ke dalam sungai ini. 


"Setakat ini tiada kesan kecederaan di tubuh mangsa, kemungkinan kerana keadaan mangsa yang mengelupas kulit akibat terendam terlalu lama.


"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. 


Polis meminta orang ramai yang kehilangan keluarga atau kenalan yang mempunyai ciri-ciri seperti dinyatakan untuk menghubungi balai polis berhampiran untuk maklumat lanjut.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo