Slider

Wanita bakar rumah janda anak dua yang disyaki merampas suaminya



Polis Pattaya sedang giat mengesan wanita yang didakwa membakar sebuah rumah milik janda anak dua yang juga dipercayai kekasih gelap suaminya, di Daerah Bang Lamung, Thailand.


Parichat Yongpanya, 33, berkata, pada waktu kejadian, 27 Mei 2022, dia sedang tidur bersama dua anak perempuannya sebelum terdengar bunyi bising dan ternampak seorang wanita membawa botol minyak di luar rumahnya. 


Wanita itu berulang kali memanggil nama suaminya. Walaupun lelaki yang dipanggilnya itu tiada di dalam rumah Parichat, wanita terbabit menuang minyak ke rumah mangsa lalu membakarnya tanpa ragu-ragu sebelum melarikan diri.


Parichat dan anak-anaknya berjaya keluar dari rumah untuk meminta bantuan. Tetapi pihak bomba yang datang ke lokasi tidak berjaya menyelamatkan rumah kayu itu.


Parichat berkata, wanita itu sering datang ke kawasan rumahnya dan mengesyaki dia adalah kekasih gelap suaminya. Parichat mengakui dia hanya sekadar berkawan dengan lelaki berkenaan yang kerap datang melawatnya di rumah.


Namun pada hari kejadian, lelaki itu tidak datang ke rumah Parichat, membuatkan wanita itu berang lalu bertindak membakar rumah janda berkenaan. 


Polis kini sedang menjalankan siasatan dan memburu suspek untuk didakwa di mahkamah kerana perbuatan khianatnya. 


Kes penderaan dan keganasan rumah tangga dilaporkan sering berlaku di Thailand. Minggu lalu, seorang lelaki di utara Thailand menikam isterinya ketika berada dalam tren. Suspek mengeluarkan pisau dari beg tangan mangsa lalu menikamnya beberapa kali di beberapa bahagian badan. 


Mangsa dikejarkan ke hospital dan suspek akan didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh. 


Sumber: Pattaya News

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo