Slider

Bekas isteri SM Faisal dipenjara 7 hari kerana gagal patuh perintah mahkamah mengenai tarikh lawatan 3 anaknya



Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia Hanafi, 43, selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan bekas suami, ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, apabila Emilia mengubah tarikh lawatan anak-anaknya. 


Emilia kemudian dibebaskan mahkamah dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.


Pada 8 Jun, ibu kepada tiga anak itu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama dengan bapa mereka. 


SM Faisal, 43, bekas ibu mentua Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan sembilan lagi pihak lain dinamakan sebagai responden. 


Bagaimanapun, Emilia hari ini tampil menyerah diri di pejabat polis Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk dipenjarakan selama tujuh hari bermula hari ini atas kesalahan gagal mematuhi perintah mahkamah mengenai tarikh lawatan tiga anaknya. 


"Semoga kes saya menjadi contoh dan dapat keadilan serta (ada) pihak dapat membantu untuk melihat kes saya di Mahkamah Syariah," katanya. 


Menurut peguamnya, Nazri Yahya berkata, anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang. 


Sementara itu, SM Faisal meminta pengkritiknya tidak hanya mendengar cerita dari sebelah pihak berhubung tindakan undang-undang yang dihadapinya dengan bekas isteri mengenai hak lawatan anak mereka. 




Menurut SM Faisal, dia telah dinafikan masa untuk bersama dengan tiga anaknya itu semenjak bercerai dengan Emilia enam tahun lalu, meskipun mahkamah memberikannya hak untuk melawat. 


"Saya tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak sejak enam tahun lalu, sekalipun pada hari raya dan hari lahir. Tahu tak betapa traumanya saya?" katanya. 


Datuk Akberdin Abdul Kader, peguam yang mewakili SM Faisal berkata, sebelum ini, anak guamnya dan bekas isteri bersetuju anak-anak mereka dihantar ke kediaman mereka sebelum ini di Serene Kiara, Kuala Lumpur, bukannya ke tempat lain seperti yang didakwa Siti Kasim. 


Katanya, SM Faisal juga tidak mendesak dan menunggu untuk bertemu dengan anak-anaknya di rumah bapa Emilia di Kajang. Tetapi Emilia tidak membenarkannya berbuat demikian.


Setiap kali gagal bertemu dengan anak-anaknya, SM Faisal juga membuat laporan polis seperti yang dibenarkan mahkamah. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo