Slider

Individu tidak hormat bahasa kebangsaan boleh didenda RM50,000 atau hukum penjara



Bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia kita diseru untuk menghormati Bahasa Kebangsaan kita. 


Seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Malaysia menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat persidangan antarabangsa sebagai satu usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan.


Ismail Sabri berkata, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.


Dalam memartabatkan usaha itu, satu cadangan telah dikemukakan oleh Pengerusi Jemaah Pengelola DBP, Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan. Beliau mencadangkan agar individu yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.


Beliau berkata, kedua-dua hukuman adalah antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada Perdana Menteri bulan depan.


"Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-66 DBP di sini pada Selasa.


Sebelum ini, dilaporkan kerajaan akan meminda akta itu bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.


Awang berkata, DBP turut mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan di bawah selian Pejabat Perdana Menteri dipinda seiringan pindaan Akta DBP agar pihaknya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan.


"Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas," katanya.


Mengenai pindaan itu, beliau berkata, ia harus dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera. 


Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan cadangan berikut memandangkan Bahasa Kebangsaan seolah-olah tidak dihormati oleh sesetengah pihak. Ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana bagi mereka banyak lagi isu yang belum diselesaikan.


Sumber: Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo