Slider

Lelaki maut, 6 murid Tahun 1 cedera akibat dirempuh pemandu yang terus keluar dari simpang



Seorang lelaki maut, manakala enam murid Tahun 1 SK Saujana Utama cedera selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Saujana Utama, tengah hari tadi. 


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 petang. 


Seramai 10 anggota bersama dua jentara dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dikerahkan ke lokasi. 


Difahamkan, kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan jenis Proton Exora dan Perodua Aruz. Saksi berkata, Perodua Aruz yang dinaiki dua wanita keluar dari simpang dan terus melanggar Proton Exora yang dipandu oleh seorang lelaki bersama enam murid Tahun 1 yang datang dari sebelah kiri. 


Akibat dari pelanggaran itu, Proton Exora terbalik dan bergolek ke bahu jalan menyebabkan pemandunya berusia 52 tahun maut serta-merta di tempat kejadian, manakala enam murid terdiri dari empat lelaki dan dua perempuan mengalami kecederaan ringan. 


Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan. Pemandu dan penumpang Perodua Aruz tidak mengalami kecederaan tetapi menghadapi kesukaran bernafas turut dihantar ke hospital yang sama. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo