Slider

Maknyah kesal hidung senget, hancur impian miliki hidung macam artis K-Pop

Foto Harian Metro


Hasrat seorang maknyah mendapatkan hidung tegak, mancung dan tirus seperti artis K-Pop tidak kesampaian apabila hidungnya menjadi senget gara-gara mendapatkan khidmat pembedahan haram. 


Mangsa, Miss L, 31, mengakui dia tertarik dengan iklan rawatan yang dilihatnya di Facebook pada Mac lalu yang terletak di Kepong. Pusat rawatan kecantikan itu menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik dan kecantikan yang dilakukan oleh 'pakar' dibawa khas dari China. Teruja dengan iklan itu, Miss L terus membuat tempahan rawatan RM150. 


"Tanpa berfikir panjang dan membuat penyelidikan lanjut, saya segera menghubungi pusat kecantikan itu pada 8 Mac lalu sebelum membayar tempatan rawatan. Saya kemudian membuat bayaran tambahan RM6,666 pada 22 Mac, diikuti dengan bayaran ketiga RM6,800 selepas pembedahan rhinoplasty selesai dilakukan pada 27 Mac," katanya. 


Difahamkan, pembedahan itu dilakukan seorang lelaki warga China berusia lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya pakar dalam bidang tersebut. 


Miss L yakin tiada sebarang masalah yang akan timbul selepas melakukan pembedahan haram itu. Tetapi sangkaannya meleset apabila kedudukan hidungnya mula senget ke arah kanan selepas 16 hari kemudian. Lebih teruk lagi, bahagian kiri hidungnya bengkak, saiz lubang hidungnya sebelah kiri lebih besar dari sebelah kanan. 


Pendandan rambut itu kemudian segera pergi ke pusat kecantikan itu untuk menuntut penjelasan. Tetapi reaksi yang sebaliknya diterima di mana 'pakar' itu memuji hidungnya sangat cantik. Pakar berkenaan juga enggan bertanggungjawab dan hanya mahu memulangkan separuh dari wang yang telah dibayar Miss L.


Kesal dengan keadaan yang menimpa dirinya, Miss L segera mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Miss L dimaklumkan oleh doktor pakar bahawa ramai yang mengalami nasib sama akibat mendapatkan perkhidmatan dari pusat kecantikan yang tidak berdaftar. 


Mangsa yang mengalami kehilangan deria bau akibat pembedahan haram itu kemudian membuat aduan di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo