Slider

'Orang Kelantan tak perlu pawagam, mereka boleh tengok Netflix' - Timb. Menteri Besar



Biarpun dirayu atau didesak, Kerajaan Kelantan tidak akan menarik balik pengharaman pawagam di negeri dengan alasan tiada rakyatnya meminta untuk berbuat demikian. 


Dalam temubual bersama saluran YouTube tempatan, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat Kelantan sebenarnya mempunyai pilihan lain untuk menonton filem dan kerajaan negeri sama sekali tidak pernah menghalang mereka untuk berbuat demikian. 


"Orang Kelantan sendiri tidak bising pasal pawagam sebab mereka boleh tengok dekat Netflix. Netflix boleh tengok semua, jadi kenapa kena bayar duit pergi pawagam? You duduk rumah sambil makan kuaci pun boleh tengok," katanya. 


Semenjak menguasai pentadbiran negeri 1990, PAS mula mengharamkan premis pawagam dan kedai nombor. Ketika itu, kerajaan negeri diterajui oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. 


Menurut laporan, Kelantan pernah digesa beberapa kali untuk mengkaji semula larangan itu, tetapi PAS menegaskan mereka tidak akan berbuat demikian. Berbeza dengan beberapa negeri lain yang dikuasai PAS seperti Kedah dan Terengganu, tidak bertindak mengenakan larangan tersebut. 


Isu Kelantan tidak mempunyai pawagam kembali diperkatakan selepas gambar Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di Lembah Klang, tular di media sosial. 


Sedangkan pada 2016, Ahmad Fadhli pernah mengeluarkan kenyataan di mana dia menentang pembukaan pawagam di Kelantan kerana hiburan seperti itu menjadi punca berlakunya masalah sosial. Disebabkan itu, ramai netizen yang mendakwa Ahmad Fadhli hipokrit. 


Mengulas mengenai kerajaan Terengganu dan Kedah tidak menguatkuasakan larangan itu, Mohd Amar berkata, pendirian kerajaan Kelantan adalah berbeza dengan negeri lain. Malah dia menolak pendapat bahawa keputusan itu mempunyai kaitan dengan perniagaan. 


"Bukan soal business, tak ramai minat buka pawagam. Sejak dunia jadi terbuka, digital dan sebagainya, pawagam banyak yang tutup. Kalau kami tak buat dasar pun, di Kuala Lumpur banyak pawagam sudah tutup, Coliseum, Federal. Semua tutup. GSC itu banyak yang tutup. 


"Maknanya kalau kami tak buat dasar pun, tak boleh, sebab semua dah masuk dalam rumah. Bagi saya, ini bukan satu isu besar. Kami tak halang orang nak berhibur, cuma dalam konteks Kelantan, kita rasa tidak sesuai. Itu saja," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo