Slider

Pakar buang saka dari jauh, dicekup berkhalwat dengan janda anak satu



Seorang lelaki warga emas (warganegara jiran) yang dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan Islam di Alor Gajah ditangkap berkhalwat dengan pasangannya berusia 40-an yang juga merupakan ibu tunggal anak satu. 


Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam berhubung kegiatan lelaki warganegara jiran berusia 60-an itu dengan pekerjanya di sebuah rumah teres di Masjid Tanah, jam 11.30 malam, Selasa. 


Ketika diserbu, lelaki itu mendakwa mereka sudah bernikah di negara jiran pada 2012., tetapi gagal menunjukkan sebarang bukti berbentuk dokumen apabila diminta oleh penguatkuasa JAIM.


Siasatan awal mendapati, lelaki itu mengamalkan kaedah perubatan jarak jauh untuk membuat saka dan juga mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara, malah mempunyai saluran YouTube sendiri. 


"Dia mendakwa sudah berkahwin di negara jiran pada 2012, namun gagal menyerahkan dokumen pernikahan yang sah apabila diminta dan memberi alasan dokumen tersebut telah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendaftaran walaupun sudah hampir 10 tahun," katanya. 


Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekediaman sehingga mendatangkan syak dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. 


Dalam pada itu, JAIM juga sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh yang diamalkan lelaki itu dan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo