Slider

Pelajar kolej swasta disyaki merogol gadis bawah umur di Perlis, tampil menyerah diri



Polis menahan seorang pelajar kolej swasta yang disyaki terbabit dalam kes rogol gadis bawah umur di Beseri, Padang Besar pada Oktober lalu, untuk membantu siasatan. 


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas dia datang menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar pada Sabtu lalu, setelah berita mengenai kejadian itu dilaporkan di media pada 31 Mei. 


"Suspek menyerah diri di IPD Padang Besar pada Sabtu lalu dan kita mendapatkan perintah reman untuk menahan suspek sehingga Khamis untuk membantu siasatan. 


"Selain itu, bayi yang dilahirkan oleh remaja itu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 29 Mei lalu masih berada dalam pengawasan pihak hospital disebabkan bayi itu dilahirkan secara pramatang," katanya. 


Terdahulu media melaporkan polis sedang memburu suspek yang disyaki terbabit dengan kes rogol gadis bawah umur pada Oktober 2021 sehingga menyebabkan mangsa berusia 16 tahun itu mengandung dan melahirkan anak. 


Polis menerima maklumat dari pegawai perubatan hospital berkenaan yang melaporkan mangsa yang juga pelajar sekolah menengah di Perlis, melahirkan anak luar nikah di hospital itu. 


Polis segera ke hospital untuk mendapatkan keterangan mangsa. Siasatan mendapati, mangsa ada menjalinkan hubungan seks dengan teman lelakinya yang juga pelajar kolej swasta di Shah Alam, Selangor. Mangsa mendakwa dia dirogol oleh suspek di sebuah bilik di Jalan Kaki Bukit, Beseri. 


Mangsa kemudian pergi ke sebuah klinik swasta dan disahkan hamil tujuh minggu. Tetapi mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya sehinggalah bayinya selamat dilahirkan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo