Slider

Pelajar Tingkatan 4 mati disyaki dibunuh oleh teman lelaki di dalam bilik

Foto sekadar hiasan sahaja



Seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui mati di rumah teman lelakinya berusia 24 tahun (penganggur) di Kampung Idaman, Pandamaran, pagi semalam. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima makluman mengenai penemuan mayat mangsa berusia 16 tahun itu di halaman rumah berkenaan pada jam 3.40 pagi.


Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai membawa mangsa ke bilik di rumahnya pada jam 2 pagi sebelum berlaku perselisihan faham di antara mereka yang berakhir dengan kematian mangsa. 


Suspek kemudian mengangkat dan membawa mayat mangsa keluar dari bilik sehingga ke halaman rumah, lalu meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang segera menghubungi polis mengenai kejadian itu. 


Pegawai perubatan yang datang ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, selain mengesan beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher mangsa. 


Laporan bedah siasat menunjukkan, mangsa mati akibat lemas, dipercayai telah ditekup oleh suspek menggunakan bantal. 


Difahamkan, suspek berkenalan dengan mangsa selama setahun dan perhubungan mereka turut diketahui oleh keluarga di mana suspek pernah membawa mangsa ke rumahnya beberapa kali. 


Suspek ditahan reman sehingga 3 Julai depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo