Slider

'Pemuda PAS tengok wayang? Wayang tu kan haram!' - Netizen dakwa PAS hipokrit, Pemuda PAS tampil beri penjelasan



“Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (Syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsia-NYA ..." pesan Pahlawan Mat Kilau.


Ketika ini, filem epik Mat Kilau arahan pengarah terkenal Syamsul Yusof semakin mendapat tempat di hati penonton. Pelbagai lapisan masyarakat dilihat memberikan sokongan kepada tayangan filem ini biarpun sebelumnya dikritik oleh sesetengah pihak. 


Pelbagai inisiatif juga dilihat oleh mana-mana pihak dalam menyokong filem ini. Tular juga di media sosial sekumpulan pemuda yang memakai busana lengkap melayu tradisional  menonton filem ini ibarat mengambil semangat kepahlawanan Mat Kilau.



Selain daripada itu, dilaporkan juga usaha yang dibawakan oleh kerajaan Kelantan yang menawarkan bas percuma bagi rakyatnya yang ingin ke Kuala Lumpur bagi menonton filem Mat Kilau.


Namun begitu, usaha ini mendapat reaksi berbeza netizen apatah lagi bila melihat beberapa gambar tular yang memaparkan beberapa orang ahli Pemuda PAS menonton filem Mat Kilau.


Netizen menyoal mengapa pawagam di Kelantan dibantah pembukaannya sehinggakan rakyatnya terpaksa menonton wayang di negeri yang berhampiran.




Memetik laporan MalaysiaKini 14 Julai 2016, Ketua Pemuda PAS ketika itu menyatakan, mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merancang membuka semula pawagam di negeri itu  bagi membendung gejala sosial.


Pun begitu, melalui satu kenyataan di Facebook Pemuda PAS Malaysia, Pemuda PAS menjawab segala kritikan netizen. Menurut status berkenaan, menonton wayang itu haram jika perkara-perkara melalaikan berlaku.


“Wayang itu haram, Pemuda PAS tengok wayang? Wayang tu kan haram!”


Betul, tengok wayang tu haram kalau:

  1. Tengok wayang sambil duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, sebelah-sebelah, itu haram.
  2. Tengok wayang cerita cintan-cintun, ajak kepada kemaksiatan, tiada nilai pengajaran, itu haram.
  3. Tengok wayang sampai lupa solat, masuk waktu solat pun masih di pawagam, itu haram. 

“Tengok wayang bukan haram terus. Kalau cerita ditayangkan tu seru kepada kebaikan, ajak orang kenal sejarah, ajak cintakan negara, itu tak haram. Kalau cerita ditayangkan tu pelakonnya semua tutup aurat, tengok wayang jaga batas syarak, itu tak haram,” katanya.








Berkenaan isu membantah pembukaan panggung wayang pula, Pemuda PAS menyatakan isu tersebut dibantah selagi panggung tersebut tidak menyelesaikan isu-isu yang disebutkan.


“Eh tapi, bukan Pemuda PAS bantah buka panggung wayang dekat Kelantan? Kenapa dekat KL boleh pula? Hipokritnya!”



“Betul, kita tak setuju panggung wayang dibuka di Kelantan, selagi panggung wayang itu tak selesaikan bab-bab yang kita sebut tadi, bab yang bawa kepada haram tengok wayang. Kalau panggung wayang tu boleh asingkan tempat duduk lelaki perempuan dan keluarga, boleh set tiada tayangan semasa waktu solat, boleh pastikan cerita yang ditayang betul-betul patuh syariah, tak ada masalah. Kita pun setuju. 


“Tengok Terengganu. Ada je panggung wayang. Dekat sana semua panggung wayang diasingkan tempat duduk lelaki, perempuan dan keluarga. Dekat sana tiada cerita ditayangkan semasa waktu solat, ada Pemuda PAS bantah? Kita raikan lagi," katanya.


Menyentuh isu percampuran jantina ketika mereka menonton wayang di Kuala Lumpur, pihak mereka menyatakan mereka sudah membeli 20 keping tiket dimana kesemuanya adalah lelaki.


“Oh habis tu masa tengok cerita Mat Kilau dekat KL, tak ada campur lelaki perempuan ke?”


“Kami beli 20 seat bang. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan,” kata mereka.


Sumber: Harakatdaily, Mat Kilau,Pemuda PAS Malaysia

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo