Slider

Pukul isteri guna kerusi, suami dipenjara 5 bulan

Foto hiasan



Tindakan seorang lelaki memukul isterinya menggunakan kerusi membawa padah apabila dia dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.


Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Ramasamy, 48, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas L. Suria Mala, 44, dengan memukul menggunakan kerusi di bahagian kepala mangsa di sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Taman Intan Baiduri Kepong pada 6 petang Sabtu lepas.


Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.


Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap, 4 Jun lepas.


Terdahulu, Ramasamy yang bekerja dalam industri pembekalan makanan merayu hukuman penjara paling minimum memandangkan dia yang berpendapatan RM1,700 sebulan perlu menyara isteri serta empat orang anak.


Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo