Slider

'Saran gaji menteri dipotong, takkan membantu selesaikan kos sara hidup rakyat' - Menteri

Foto Mahdzir Khalid | Utusan TV



Baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan gaji barisan menteri kabinet dipotong sebanyak 20 peratus dengan kadar segera bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat yang sedang bergelut dengan krisis kenaikan harga barang yang semakin meruncing. 


Bagaimanapun, saranan Rafidah itu ditolak oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan tindakan itu tidak akan membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat. Sebaliknya, ia memerlukan alternatif lain yang lebih berkesan. 


Mahdzir berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat berdepan dengan krisis peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini di mana Perdana Menteri dan pasukannya akan bermesyuarat dua kali seminggu bagi membincangkan hal berbankit dan mencari jalan penyelesaian. 


"...seperti yang diumumkan Perdana Menteri, tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan. 


"Sehingga kini pun, kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat," katanya. 


Tambahnya, Rafidah sepatutnya memberi idea yang lebih baik atau berjumpa dengan Perdana Menteri untuk mengetengahkan ideanya. Tindakan menyarankan pemotongan gaji oleh Rafidah itu dilihat sama seperti saranan yang selalu diajukan oleh pembangkang dalam Dewan Rakyat. 


Sumber: Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo