Slider

Tak puas hati ditinggalkan, lelaki culik bekas kekasih & cacah tatu namanya di pipi mangsa



Seorang lelaki Brazil dituduh menculik bekas teman wanita dan mencacah tatu namanya di bahagian pipi untuk membalas dendam kerana kecewa ditinggalkan wanita itu. 


Mangsa, Tayane Caldas, 18, berasal dari Sao Paulo, sebelum itu dalam perjalanan ke sekolahnya, Jumaat lalu, sebelum didatangi bekas teman lelakinya, Gabriel Coelho, yang memaksa dia masuk ke dalam kereta. 


Bimbang akan keselamatan dirinya, mangsa terpaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa rumah lelaki itu. Coelho kemudian mencacah tatu di pipi dari telinga hingga ke dagu. Suspek mendakwa, mangsa langsung tidak melawan ketika dia berbuat demikian. 


Sehari kemudian, ibu Tayane membuat laporan berhubung kehilangan anaknya di balai polis dan berjaya mengesan kediaman Coelho. Tayane dibawa pulang ke rumah dan digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas teman lelakinya itu, berbanding memadamkan tatu tersebut dan beberapa kesan lebam lain di badannya. 


Gabriel Coelho ditahan pada Sabtu lalu, tetapi bapanya tampil mempertahankan anaknya dan mendakwa Tayane sendiri membiarkan anaknya mencacah tatu itu di pipi. 


"Saya takut dengan dia. Undang-undang pada hari ini, semua tahu yang dia (suspek) tidak akan duduk lama dalam penjara dan dengan situasi seperti ini, membuatkan saya takut dengannya," kata mangsa kepada TV Band Vale. 


Selepas peguam mangsa berkongsi mengenai kejadian itu di media sosial, beberapa influencer tempatan dan pemilik kedai tatu tampil menawarkan bantuan kepadanya. 


Tayane menjalani rawatan pembuangan tatu menggunakan lazer pada Rabu lalu bagi membuang tatu nama suspek di pipi. 


Difahamkan, suspek dan mangsa menjalinkan hubungan sejak 2019. Pada awalnya perhubungan mereka berjalan lancar. Setahun kemudian, Coelho yang juga merupakan pencacah tatu mula berasa cemburu dan menyerang Tayane. 


Mereka kemudian berpisah selama lapan bulan dan kembali bersama semula selepas Coelho berjanji tidak akan memukul Tayane. Namun, janji tersebut dimungkiri dan keadaan itu memaksa Tayane meminta perlindungan dari mahkamah. 


Tayane dihantar ibu bapanya ke Sao Paulo untuk beberapa bulan, tetapi sebaik saja kembali ke daerah itu, Coelho mula mengancam keselamatannya. 


Sumber: Oddity Central

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo