Slider

'Takkan nak salahkan hujan pulak?' - AFC 'haramkan' Stadium Nasional Bukit Jalil



Sesi perlawanan bola sepak Malaysia menentang Bahrain yang berlangsung pada Sabtu lalu mengundang pelbagai kontroversi. Bukan corak permainan atau keputusan permainan yang menjadi kecaman, tetapi cara penyelenggaraan fasiliti di stadium berkenaan mengundang kemarahan orang ramai. 

 

Sabtu lalu, hujan lebat telah membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil menyebabkan permukaan padang ditakungi air.


Situasi tersebut menyebabkan beberapa petugas stadium terpaksa menolak air menggunakan penyodok dan kadbod.


Malah, petugas stadium masih giat menolak air ketika jam menghampiri 8.40 malam, hanya 20 minit sebelum perlawanan berlangsung.


Melihat situasi sedemikian berlaku, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan untuk mengenakan 'sekatan' kepada Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya padang tidak dinaiktaraf dengan segera.


Ini bermakna AFC tidak akan memberi kelulusan terhadap venue terbabit bagi penganjuran kejohanan peringkat Asia sehingga padang terbabit dibaikpulih.


Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang mengakui kecewa dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilihat rosak selepas 'dihenyak' dengan empat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.


"Kita terkejut melihat keadaan padang dan takkan mahu menyalahkan hujan pula. Tuan punya tempat itu perlu lebih bersedia dan di sini bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena uruskan perkara itu.


"Jadinya, kita agak kecewa dengan keadaan padang yang masih lagi tidak dibaikpulih malah menggunakan alat yang tidak sesuai pula untuk membuang air atas padang.


"Saya fikir kalau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berterusan seperti ini, AFC tidak akan meluluskan lagi perlawanan di stadium berkenaan," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi menjelaskan pihaknya sudah mencadangkan perlawanan antara Malaysia menentang Bahrain itu ditangguhkan bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.


Namun Faidz mendakwa penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.


Sumber: Berita Harian Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo