Slider

'Terima kasih Kak Dib sebab pernah bantu family kami'



Baru-baru ini tersebar gambar yang memaparkan pelantun suara 'Terlalu Istimewa' mengalami susut badan yang sangat ketara dan mengundang persoalan netizen. Namun begitu, beliau hanya menjawab pertanyaan tersebut melalui komen netizen menyatakan dirinya hanya mengambil nasi dengan jumlah yang sedikit selain daripada menjaga kesihatan.


Sabtu lalu, berita pemergian Allahyarhamah Adibah Noor sekali lagi mengundang kejutan ramai. Tiada siapa yang menyangka di sebalik perwatakan yang ceria itu, beliau menyembunyikan penyakit yang dihidapinya. Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.


Pemergian Allahyarhamah bukan sahaja ditangisi rakan artis, malahan beberapa individu juga berkongsikan tentang peribadi Adibah Noor yang baik hati dan suka bersedekah. 


Satu ciapan di Twitter, seorang pemuda ini mendedahkan, Adibah Noor pernah membantu dia sekeluarga ketika dia mengalami kesusahan akibat pandemik yang lalu. Ciapan pemuda ini ketika itu menarik perhatian Adibah Noor dan Allahyarhamah menghantar pesanan mesej kepadanya untuk menghulurkan bantuan.




Ciapan tersebut juga dikongsikan oleh netizen yang lain dan menyatakan mereka turut dibantu oleh Adibah Noor di dalam perniagaan mereka.  Walaupun ketika itu, dikatakan Allahyarhamah turut terkesan dengan pandemik, namun beliau tetap membantu orang di sekelilingnya.


Sikap pemurah  Allahyarhamah juga bukan hanya pada orang yang memerlukan, malah dia juga dikenali sebagai seorang artis yang sangat aktif membantu dan menyelamatkan kucing jalanan. Beliau juga dikatakan memelihara 41 ekor kucing. Sudah semestinya juga pemergian ‘tuannya’ dirasai oleh kucing-kucing peliharaannya.


Pusat Perlindungan haiwan, Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH), menerusi satu kenyataan di Facebook bersedia mengambil tanggungjawab menjaga kucing peliharaan Allahyarhamah.


“Salam takziah buat Adibah Noor. Amanah tiada masalah jika kucing-kucing arwah sebanyak lebih daripada 40 ekor hendak berteduh di rumah AMANAH. Syarat nombor satu (utama) adalah disebabkan kematian tuan kucing,” ujarnya.


Sehubungan itu, pihak AMANAH meminta waris kepada Allahyarhamah untuk menghubungi pihaknya jika bersetuju untuk menyerahkan kesemua kucing milik arwah.


“Warisnya (keluarga Adibah Noor) boleh hubungi saya. Tidak perlu bayar apa-apa dan tidak perlu beri makanan (derma) pada kucing pada setiap bulan. Malah setiap hari Ahad dari pukul 2.30 petang hingga 6.30 petang adalah hari melawat. Terbuka kepada umum,” katanya.


Sehingga ke hari ini, masih ramai yang sedih dengan kehilangan sebutir bintang yang serba boleh dan berbakat. Semoga Allahyarhamah Adibah Noor dicucuri Rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al- Fatihah!


Sumber: Jefri EL’ Mansor, Kosmo Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo