Slider

Terlalu banyak mayonis dalam sandwich, pelanggan tembak mati staff Subway



Polis sedang menyiasat kejadian pelanggan menembak mati seorang pekerja Subway kerana meletak terlalu banyak sos mayonis di dalam sandwich yang dipesannya. 


Insiden mengejutkan itu berlaku di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 26 Jun 2022, jam 6.30 petang. 


Polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita berusia 26 sudah tidak bernyawa dan seorang lagi mangsa berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah dan terus dikejarkan ke hospital berdekatan. 


Suspek lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu telah ditahan untuk siasatan lanjut. 


Pemilik cawangan Subway berkenaan, Willie Glenn berkata, "Percaya atau tidak, kejadian itu berlaku hanya kerana terlalu banyak sos mayonis dalam sandwich dia (suspek)". 


Tambah Glenn, ketika kejadian itu berlaku, anak lelaki kepada kakitangannya yang cedera, turut berada di lokasi. Pengurusnya cuba membalas tembakan tetapi gagal mengenai suspek. 


"Saya tak tahu apa nak jadi pada golongan belia sekarang. Mereka sangat baran. Semua orang nak bawa senjata, semua orang nak takutkan orang lain dengan senjata, ini betul-betul menakutkan," katanya. 


Ketua Polis Darin Schierbaum mengesahkan kejadian itu berlaku berpunca dari pertelingkahan membabitkan senjata api sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian. 


"Kita boleh banteras operasi dadah yang menjadi punca jenayah membiak, kita boleh banteras organisasi kongsi gelap, kita boleh halang rompakan, tetapi kita tidak boleh menghalang seseorang yang marah hanya disebabkan terlalu banyak mayonis di dalam sandwichnya," katanya. 


Sumber: Daily Star

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo