Slider

Tinggal nombor telefon selepas buang bayi baru lahir di Perlis, penuntut IPT ditahan polis



Polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini berhubung kes penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan yang dibalut dengan plastik hitam di hadapan sebuah gerai berhampiran Taman Seri Wang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perlis Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu sekitar 9.10 pagi tadi dalam keadaan masih bertali pusat.


"Hasil siasatan awal mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga menerima panggilan daripada seorang wanita (suspek) yang memaklumkan meninggalkan seorang bayi berdekatan kawasan berkenaan.


"Wanita itu juga meninggalkan nombor telefon selepas dipujuk JKM," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.


Wari berkata, selepas menerima panggilan itu, JKM Perlis bergegas ke lokasi terbabit dan menemukan seorang bayi masih bertali pusat yang dibalut dengan plastik hitam.


Beliau berkata, pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turut ke lokasi berkenaan dan membawa bayi itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi mendapatkan rawatan susulan.


"Bayi itu dilaporkan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil," katanya.


Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo