Slider

2 suspek khianat Toyota Alphard ditahan polis ketika masuk semula ke Malaysia



Polis berjaya menahan seorang wanita dan anak lelakinya warga Singapura yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Ahad lalu. 


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, dua beranak itu yang masing-masing berusia 46 dan 18 tahun itu ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, jam 9.15 malam tadi. 


"Kedua-dua suspek masing-masing berusia 46 dan 18 tahun itu mengaku terbabit dalam kes khianat berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan. Kedua-dua suspek direman sehari bermula hari ini," katanya. 


Dalam kejadian Ahad lalu, dua suspek terbabit enggan memberi ruang kepada sebuah Toyota Alphard untuk memasuki lorong kanan dan berlaku adegan himpit menghimpit. 


Akibat dari perbuatan itu, kedua-dua kenderaan tersebut bergesel. Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, kedua-dua suspek mula melakukan onar di mana suspek wanita bertindak keluar dan menghalang laluan Alphard dan merosakkan nombor pendaftaran kenderaan itu. 


Suspek lelaki juga tidak mahu ketinggalan dengan bertindak menunjukkan isyarat jari tengah dan menggoyangkan punggungnya sebagai tanda mengejek tanpa mempedulikan aksi mereka dirakam oleh orang awam. 


Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura. Video kejadian itu dimuat naik ke media sosial oleh anak mangsa yang mahu suspek tampil membayar ganti rugi. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo