Slider

'Ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas potong gaji menteri?' - Annuar

Foto MalaysiaNow



Tidak dinafikan di media sosial, ramai yang mencadangkan agar gaji menteri dipotong bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan sekali gus 'wang tersebut' dapat digunakan untuk membantu rakyat yang sedang bergelut dengan isu kenaikan harga barangan. 


Bagaimanapun, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa dilihat tidak bersetuju dengan cadangan itu yang dikatakan tidak relevan dan tidak akan menurunkan kadar inflasi mahupun harga barangan. 


Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatannya tidak memadai untuk mengubah keadaan.


"Bolehkah anda menamakan satu negara yang turunkan inflasi dengan (menteri) potong gaji?


"Kedua, katakan anda potong RM10,000 dari setiap menteri, gandakan dengan 36 (jumlah menteri dalam kabinet), berapa yang anda dapat? 


"Bolehkah anda memberi jaminan kepada saya yang inflasi akan selesai (dengan cara ini)? Harga barang tak (akan) naik? Tolonglah, jangan main politik," katanya memetik laporan dari MalaysiaKini, Isnin, 25 Julai 2022. 


Sebelum ini, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz, pernah menyarankan agar gaji barisan Kabinet Ismail Sabri dipotong gaji sebanyak 20 peratus bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat yang sedang bergelut dengan krisis kenaikan harga barang. 


Tinjauan di media sosial mendapati, ramai rakyat yang bersetuju dengan saranan itu dan menggesa kerajaan segera melaksanakannya. Malangnya, tampil beberapa pemimpin kerajaan yang membantah saranan itu yang dikatakan tidak relevan.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo